Categories
NASIONAL

Demonstrasi kena fokus & mesej jelas bukan selalu

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 APR: Gerakan demonstrasi di negara ini dikatakan masih belum matang kerana terhalang dengan campurtangan dan kuasa parti politik berkepentingan.

Aktivis, Abdul Malek Hussin berkata parti politik lebih mendominasi sesuatu penentangan terhadap kerajaan pemerintah, menyebabkan gerakan rakyat terpesong daripada agenda perjuangan sebenar.

Demo Teoh Beng Hock depan SPRM (4)Katanya, gerakan di Malaysia berbeza dengan di luar negara seperti Filipina, Indonesia dan Hong Kong memandangkan hala tuju gerakan menjurus ke arah matlamat sesebuah parti.

“Ia belum matang. Yang menyebabkan ia terbenam ialah pergerakan kepartian menguasai pergerakan. Penentangan dan perbezaan dengan pemerintah itu lebih terarah kepada penentangan menjurus kepada pergerakan kepartian.

“Apabila ada campurtangan terhadap pergerakan masyarakat sivil, maka dia dipesongkan dan disesatkan agenda parti politik,” katanya pada forum Black14: dari Reformasi ke #KitaLawan di bangunan Malaysiakini di Petaling Jaya, malam tadi.

Bekas tahanan Akta Dalam Negeri (ISA) itu juga mengkritik ahli politik berkepentingan apabila hanya mahu menjaga kedudukan sendiri dan enggan mengambil risiko dikenakan tindakan undang-undang.

“Pemimpin ada jadi wakil rakyat, ada jadi menteri besar, Adun dan exco.

“Lantaran itu kerana takut menghadapi pendakwaan, hingga boleh mengakibatkan hukuman yang boleh melucutkan jawatan, menyebabkan ada pertimbangan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, peguam Lawyers for Liberty Michelle Yesudas bimbang sekretariat Kita Lawan hilang matlamat asal ekoran kekerapan mengadakan aktiviti hampir setiap minggu.

Katanya, bagi memastikan matlamat asal itu terus relevan, beliau menyarankan supaya ia tidak diadakan secara berulang. Namun pada masa sama, matlamat asalnya perlu dipertahankan bagi tempoh masa yang lama.

“Jika mesej itu hilang, dah tiada makna. Perlu fokus dan perlu bawa manifestasi jelas,” katanya.

“Jangan setiap hari hendak ada demonstrasi. Kena ada sesuatu untuk menampungnya. Jika tidak mesej hilang. Jangan bagi mesej itu hilang makna,”katanya.

Panelis lain dalam forum tersebut ialah Editor The Malaysian Insider (TMI), Amin Iskandar.
EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.