Categories
SELANGOR

GST beban utama pelajar

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 14 APR: Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang meminta pelajar memasak sendiri adalah mustahil apabila undang-undang universiti tidak membenarkan masak di dalam kampus.

Kebanyakan pelajar mengkritik kenyataan Ahmad kerana membawa peralatan memasak juga tidak dibenarkan ke dalam kampus.

faizun abdullah, 24Pelajar, Faizun Abdullah, 24, berkata universiti melarang pelajar membawa sebarang peralatan elektrik untuk mengelakkan kebakaran.

“Ada pelajar yang bawa alatan memasak ke kampus tapi dirampas sebab takut terlebih guna elektrik. Kerajaan sepatutnya fikirkan cara untuk menyenangkan pelajar seperti melarang peniaga mengenakan cukai.

“Sesetengah peniaga walaupun tidak berdaftar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetapi menaikkan harga makanan hingga membebankan pelajar,” katanya.

Ismi fahmi Abdul Rahman, 22, pula berkata kenyataan Ahmad menunjukkan menteri tidak memikirkan kebajikan rakyat kerana memberi jawapan yang tidak menyelesaikan sebarang masalah.

“Pelajar lelaki mungkin ada yang tidak tahu memasak. Kami hanya mampu membeli makanan di luar dan barang dalam kampus sendiri sudah naik.

Ismi fahmi Abdul Rahman“Paling kurang kami makan mee segera tetapi sekarang ia juga dikenakan GST. Tiada pembelaan bagi kami sebagai pelajar,” katanya.

Qurratu Anini, 23, berkata universiti melarang pelajar masak di kampus kerana berisiko selain memikirkan keselamatan.

“GST sangat membebankan bukan sebab tidak boleh masak di kampus. Dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi membuatkan kami terasa semakin susah.

“Tidak semua pelajar datang daripada golongan kaya. Jadi, GST sangat tidak wajar dikenakan kepada kami dan berharap kerajaan meneliti semula berkenaan perkara ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.