Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam selesai tuntutan bayaran balik GST lebih RM4 bilion

PUTRAJAYA, 2 DIS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyelesaikan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.006 bilion yang melibatkan 27,426 syarikat dan 40,280 tuntutan dalam tempoh antara 22 Jun dan 30 Nov lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata terdapat 82,517 tuntutan pembayaran balik GST tidak dapat diproses dan dibayar, melibatkan 48,225 syarikat dengan nilai tuntutan berjumlah RM1.316 bilion.

“Antara masalah utama yang dihadapi JKDM untuk memproses tuntutan ini ialah penuntut gagal memberi maklum balas dari segi mengemukakan dokumen yang dikehendaki dan maklumat bank yang tidak sah.

“Keadaan ini berlaku disebabkan penuntut tidak mengemas kini maklumat pendaftaran syarikat seperti alamat perniagaan, nombor telefon dan emel dalam sistem MyGST yang menyebabkan notis atau pemaklumat tidak sampai ke pengetahuan penuntut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Abdul Latif meminta syarikat yang masih belum menerima tuntutan bayaran balik GST mengemas kini maklumat pendaftaran dan maklumat bank dalam Taxpayer Access Point (TAP), MyGST.

Penuntut juga boleh menghubungi JKDM melalui emel ke Cawangan Kawalan Operasi dan Pulangbalik, Ibu Pejabat [email protected], katanya.

Pada 15 Jun lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pembayaran balik GST akan dibuat mulai 22 Jun 2020 dan pembayaran kepada semua penuntut dijangka selesai selewat-lewatnya pada Disember ini.

Ditanya sama ada terdapat syarikat yang dikesan membuat tuntutan palsu, Abdul Latif berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan serta audit terlebih dahulu sebelum mengklasifikasikan sesuatu tuntutan itu adalah palsu.

“Kita tidak boleh terus kata ada syarikat tertentu buat tuntutan GST palsu. Audit perlu dibuat dan jika ada asas, kita akan ambil tindakan kerana menipu kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latif berkata Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia (MPPKSM) ke-94 selama dua hari diadakan secara dalam talian bermula hari ini bagi memenuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

“Tujuan utama mesyuarat ini diadakan ialah untuk membincangkan dasar-dasar jabatan selain membincangkan tahap pemantauan ke atas tindakan-tindakan terhadap sesuatu dasar yang diperkenalkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Kastam diminta siasat terlebih bayar tuntutan GST RM4.38 juta

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Pengauditan Jabatan Audit Negara terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati jabatan itu membuat lebihan bayaran balik terhadap tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi 2019 berjumlah RM4.38 juta.

Susulan itu, Jabatan Audit Negara mengesyorkan supaya JKDM menjalankan siasatan ke atas syarikat yang membuat tuntutan dan pegawai yang bertanggungjawab.

Menurut laporan itu, semakan audit mendapati sebanyak 75 daripada 100,736 tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM4.38 juta dibayar walaupun permohonan diterima selepas tempoh ditetapkan.

“Pihak audit mendapati perkara ini berlaku kerana pegawai yang bertanggungjawab tidak menyemak tarikh terimaan Penyata GST-03 sebaliknya melaksanakan proses pembayaran balik mengikut fail tugasan yang diserahkan.

“Kesilapan ini pembayaran ini menyebabkan ketirisan hasil kepada kerajaan sekiranya tidak dikutip semula. JKDM juga disyorkan agar membuat kutipan balik bayaran terkhilaf daripada Orang Kena Cukai (OKC) itu pada kadar segera,” demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang diterima pihak audit pada 29 Mei 2020, JKDM mengambil tindakan menuntut semula tuntutan terkhilaf bayar itu yang melibatkan 75 transaksi bagi penyata yang diterima pada Jan-Mei 2019.

Hasil tindakan JKDM menyaksikan sejumlah 48 transaksi dikeluarkan membabitkan bil tuntutan berjumlah RM3.98 juta setakat 28 Mei 2020 manakala 27 transaksi dalam tindakan tuntutan semula.

Dalam maklum balas diterima pada 4 Ogos 2020, JKDM memaklumkan 42 transaksi bil tuntutan selesai dipungut berjumlah RM798,453.64 sehingga 3 Ogos 2020.

Seksyen 8 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 menetapkan OKC dikehendaki mengemukakan penyata terakhir dan mengakaunkan semua pembekalan yang dibuat.

Penyata akhir dan bayaran GST hendaklah dikemukakan tidak lewat daripada 120 hari iaitu pada 31 Dis 2018 (dari tarikh yang ditetapkan iaitu 1 Sept 2018). Selain itu, Seksyen 8(1), menyatakan sebarang tuntutan cukai hendaklah dibuat dalam penyata akhir yang ditetapkan pada 31 Dis 2018.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tidak berhasrat laksana semula GST

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya akan memperkenalkan Cukai Perkhidmatan Digital dan beberapa insentif cukai dan pengecualian bagi merangsang ekonomi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, Cukai Perkhidmatan Digital itu akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan.

“Ini antara lainnya akan membabitkan perkhidmatan seperti dan tidak terhad kepada muat turun perisian, muzik, video atau pengiklanan digital.

“Pembekal perkhidmatan asing boleh mendaftar dengan Kastam bermula 1 Oktober 2019,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, bagi memastikan struktur cukai pendapatan yang lebih progresif, banjaran baharu bagi pendapatan bercukai melebihi RM2 juta akan diperkenalkan pada kadar 30 peratus iaitu kenaikan dua peratus daripada kadar 28 peratus sedia ada.

Kenaikan ini akan hanya memberi kesan ke atas kira-kira 2,000 individu berpendapatan tinggi di negara ini, katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata kerangka insentif baharu itu, semakan semula menyeluruh dan penambahbaikan kerangka sedia ada akan siap menjelang 1 Jan, 2021.

Beliau berkata kerajaan akan menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun selama lima tahun bagi mentransformasi perniagaan Malaysia kepada perusahaan paling kompetitif dalam pasaran eksport global.

Katanya, insentif cukai yang diberikan kepada modal teroka dan pelabur budiman akan turut dilanjutkan sehingga 2023 bagi menggalakkan sumber pendanaan alternatif untuk syarikat pemula niaga selain menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

Selain itu, Guan Eng berkata, dalam usaha menggalakkan aktiviti dengan nilai tambah tinggi dalam industri elektrikal dan elektronik (E&E) untuk beralih kepada ekonomi digital 5G dan Industri 4.0, kerajaan bercadang untuk memberi pengecualian cukai sehingga 10 tahun bagi syarikat E&E yang melabur dalam perkhidmatan berasaskan pengetahuan tertentu.

Elaun Cukai Pelaburan Khas untuk menggalakkan syarikat E&E sedia ada yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula untuk terus kekal melabur di Malaysia juga akan diberi, katanya.

Bagi menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Guan Eng berkata kerajaan memutuskan untuk meningkatkan pendapatan cukai boleh bercukai sehingga RM600,000 pada tahun depan berbanding RM500,000 ketika ini dengan kadarnya dikekalkan pada 17 peratus.

Ini tertakluk kepada PKS yang memiliki modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta dan jualan tahunan tidak lebih RM50 juta, katanya.

Mengenai GST, katanya berkata kerajaan berjaya mengembalikan pembayaran balik cukai itu berjumlah sehingga RM15.9 bilion kepada lebih 78,000 syarikat pada akhir September 2019 dan bayaran balik cukai berjumlah RM13.6 bilion kepada 448,000 syarikat dan 184,000 pembayar cukai.

Bagi menambah baik kecekapan pengurusan rayuan pembayar cukai, kerajaan akan menggabungkan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan dan Tribunal Rayuan Kastam ke dalam Tribunal Rayuan Cukai.

“Menerusi cara ini, pembayar cukai yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia boleh mengemukakan rayuan berkaitan cukai di bawah semua undang-undang cukai yang tertakluk kepada Tribunal Rayuan Cukai yang akan beroperasi pada 2021,” katanya.

Katanya, mulai Januari 2021, rakyat Malaysia berusia lebih 18 tahun dan entiti korporat akan diberi Nombor Pengenalan Cukai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM tidak maksudkan GST akan dilaksanakan terus – Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA, 3 OKT: Kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hari ini tidak bermaksud sistem percukaian itu akan terus dilaksanakan semula, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut laporan media yang dibacanya, Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan Dr Mahathir ialah kerajaan hanya akan mengkaji keperluan untuk memperkenalkan semula sistem GST jika perkara itu merupakan kehendak rakyat.

“Kalau rakyat nak balik semula pada GST, kerajaan sedia kajilah. Bukan Perdana Menteri kata kerajaan akan laksanakan terus. Tak ada. Dia tidak sebut begitu. Jadi kita tamat di situ dari segi kenyataan PM,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir berhubung GST.

Dr Mahathir ketika ditemui media selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di sini hari ini dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan semula sistem GST sekiranya itu kemahuan rakyat.

Saifuddin Nasution yang ditemui pemberita selepas melancarkan Pelan Tindakan Industri Katering 2020 di kementeriannya di sini hari ini berkata: “Saya baca ulang kali. Dia (PM) kata, kalau itu menjadi kehendak atau pilihan rakyat kerajaan bersedia untuk kaji. Maknanya ayat itu berlapik.”

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dilaporkan menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

GST pada kadar enam peratus pernah dilaksanakan sejak 1 April 2015 namun dimansuhkan pada 1 Sept 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Mengenai Pelan Tindakan Industri Katering 2020 yang bertemakan ‘Memacu Industri Katering dan Kesedaran Pengguna’, Saifuddin Nasution berkata ia merupakan langkah intervensi untuk mengatasi sebahagian isu yang dihadapi industri katering dan melindungi hak dan kepentingan pengguna.

Beliau berkata pelan itu dirangka ekoran aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung perkhidmatan katering semakin meningkat iaitu dari lima aduan pada 2014 kepada 65 aduan pada 2018.

“Kategori aduan yang diterima ialah makanan tidak mencukupi, makanan tidak berkualiti, penghantaran lewat, makanan tidak seperti yang ditempah, perkhidmatan pelayan tetamu tidak mencukupi dan kurang profesional dan pampasan tidak dibayar jika tempahan tidak dapat dipenuhi seperti dijanjikan,” katanya.

Pelan itu turut memuatkan panduan memilih perkhidmatan katering, perkara yang perlu disemak oleh pengguna dan sembilan saluran aduan yang disediakan untuk pengguna.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tunggakan cukai pendapatan, GST dibayar semula berperingkat

PUTRAJAYA, 18 JAN: Kerajaan kini dalam proses membayar semula tunggakan cukai berjumlah RM37 bilion, membabitkan cukai pendapatan dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tunggakan terdiri daripada RM18 bilion cukai pendapatan dan RM19 bilion bagi GST berdasarkan anggaran dibuat dalam Belanjawan 2019, akan dibayar secara berperingkat dalam tempoh 10 bulan.

“Kami akan memulakan proses pembayaran balik tetapi ia tidak akan dikembalikan sekali gus kerana ia akan menjadi angka yang sangat besar.

“Kami tidak membayarnya lagi tetapi kami berhasrat untuk berbuat demikian dalam tempoh 10 bulan tahun ini,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, keputusan untuk tidak membayar tunggakan itu secara sekali gus ekoran berpendapatan ia langkah tidak baik.

“Sekiranya kami membayar balik sekali gus, saya tidak fikir ia baik dan bank kami akan berkata, kenapa anda tidak menyebarkannya supaya anda boleh mendapat kesan pengganda sepenuhnya serta meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

PAC tangguh dua prosiding pendengaran

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menangguhkan prosiding membabitkan Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke satu tarikh dan masa yang akan ditetapkan kemudian.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan berkata, prosiding hari ini sepatutnya membabitkan saksi mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Dalam kenyataan sama, PAC turut memaklumkan prosiding berhubung tuntutan tunggakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion yang dijadualkan esok, turut ditangguhkan pada 14 November ini, pada jam 2.30 petang.

Prosiding itu akan membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Categories
NASIONAL

Kes GST: PAC panggil Najib beri keterangan esok

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memberi keterangan berkaitan isu bayaran tunggakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM19.4 juta, esok.

Timbalan Pengerusinya, Wong Kah Wah berkata, keterangan itu penting bagi membantu PAC dalam perkara berkaitan.

“Kita akan memanggil Najib untuk memberikan keterangan berkenannya esok dan selepas itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga akan dipanggil bagi tujuan sama.

“Segala keterangan dan bukti akan kita teliti untuk melengkapkan prosiding nanti,” katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas PAC selesai mengambil keterangan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar.

Kah Woh berkata, ia adalah kali kedua PAC mengadakan sesi itu bersama Mohd Irwan.

“PAC sudah mengambil keterangan beliau dan ia hanya berhubung kait dengan isu GST,” katanya.

Berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), katanya, PAC akan memulakan prosiding minggu depan dengan memanggil mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sebagai saksi pertama bagi memberi keterangan.

Categories
NASIONAL

PM: Najib perlu kemuka bukti nafi bayaran GST tidak hilang

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 12 OGOS: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu mengemukakan bukti bagi menafikan dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM18 bilion dilaporkan hilang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Najib tidak boleh sekadar menafikannya dan membuktikan bayaran balik GST dilakukan dengan betul.

“Tidak boleh nafi sahaja, Najib kata lain dan Lim pula kata lain.

“Bukti perlu ditunjukkan bayaran balik GST itu tidak hilang,” katanya kepada media selepas melawat pameran seni, Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penafian Najib mengenai kenyataan Lim merujuk audit Jabatan Kastam Diraja Malaysia menghadapi kekurangan RM18 bilion bagi bayaran balik GST.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, kerajaan hari ini menghadapi masalah kewangan akibat perlu membayar segala hutang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) diketuai Najib.

Beliau berkata, kerajaan diterajuinya kini mengamalkan pendekatan berbeza dan langkah berjimat cermat bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Kerajaan sekarang perlu membayar hutang ditinggal pentadbiran BN dan akibatnya kita hadapi masalah kewangan.

“Kita tidak seperti kerajaan dahulu dan curi seperti Najib,” katanya.

Beliau berkata, bantuan kepada rakyat juga tidak dapat dilaksanakan seperti mana dilakukan BN sebelumnya akibat masalah berkenaan.

“Rakyat mengharapkan kita beri bantuan duit tetapi sekarang kita tidak boleh macam itu akibat kekurangan wang. Dahulu Najib sesuka hati beri,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Universiti Perdana, Norpisah Mat Isa dan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

 

Categories
NASIONAL

Tanpa GST, Kerajaan tetap bantu Kumpulan B40

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OGOS: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membidas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus mempertahankan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mendakwa ia hanya dikenakan ke atas golongan kaya serta usahawan besar dan dengan ketiadaan GST ini, golongan terbabitlah paling beruntung.

Dalam kenyataan beliau berkata, Najib lupa bahawa GST telah memberi kesan terhadap rakyat Malaysia di segenap lapisan, terutamanya golongan miskin dan tidak berkemampuan yang mana golongan ini tidak dikenakan cukai sebelum ini.

Keadaan ini sekaligus meletakkan bebanan kewangan berterusan ke atas rakyat sehinggakan mereka melakukan perubahan pada PRU-14 lalu.

“Kerajaan Malaysia Baharu sudah menunaikan janji dengan menghapuskan GST. Amaran kerajaan sebelum ini yang menyatakan Malaysia akan jatuh muflis dengan ketiadaan GST tidak benar sama sekali.

“Bahkan bayaran BR1M (kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup atau BSH), masih lagi diteruskan meskipun tanpa kewujudan GST. BSH disasarkan kepada golongan kumpulan B40.

“Bagaimana pula Najib boleh mendakwa golongan miskin ini tidak dibantu sedangkan bayaran terakhir BSH tahun ini akan diagihkan bermula 15 Ogos, seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha?

“Sebanyak 4.1 juta rakyat akan menerima BSH yang menelan anggaran kos RM1.6 bilion,” katanya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) terus membantu Kumpulan B40 dibantu dengan menstabilkan harga petrol walaupun Kerajaan Barisan Nasional hanya membuat apungan berdasarkan harga pasaran.

Menurutnya, walaupun harga minyak antarabangsa meningkat sebanyak 42 peratus daripada Bajet 2018 dengan anggaran USD52 setong ke USD74 setong, harga RON95 serta diesel tetap kekal pada masing-masing RM2.20 dan RM2.28 seliter.

Langkah ini membabitkan subsidi petrol kira-kira 30 sen seliter berjumlah RM3 bilion yang ditanggung kerajaan sehingga penghujung tahun 2018.

“Najib terbukti salah apabila menyatakan GST adalah bagus dan menuduh kerajaan baharu ini tidak fokus dalam membantu golongan B40.

“Najib sewajarnya tidak melepaskan kekecewaannya atas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum yang lepas kepada Pakatan Harapan dan kegagalannya dalam menyandang kedudukannya sebagai Perdana Menteri kepada Tun Dr Mahathir,” katanya.

Categories
NASIONAL

Khidmat, kos bahan binaan dikecuali di bawah SST

PUTRAJAYA 12 OGOS : Perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, di bawah rejim GST, bahan asas seperti batu-bata, simen, pasir dan lain-lain bahan pembinaan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus.

“Di samping itu, perkhidmatan pembinaan juga turut dikenakan GST sebanyak enam peratus.

 

“Ini mengakibatkan kos pembinaan meningkat di bawah era GST termasuk kenaikan harga rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Beliau berkata, tekanan ke atas harga rumah, bangunan industri dan bangunan komersial dijangka akan diringankan dengan pemansuhan GST dan pengecualian SST.

Katanya, Kerajaan Persekutuan mengharapkan kos pembinaan akan menjadi lebih rendah susulan daripada pengecualian cukai SST ke atas bahan mentah utama dan perkhidmatan pembinaan.

“Antara contoh bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST adalah seperti simen, pasir dan besi.

“Dengan cadangan pengecualian barang berkenaan daripada dikenakan SST dan kaedah implementasi cukai SST yang lebih baik berbanding GST, pihak pemaju dan pembeli harus mendapat faedah daripada pengurangan beban cukai ini,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kastam tuntut RM19.4 bilion bayaran balik GST tapi tak lulus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak RM19.4 bilion sudah dituntut Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) untuk pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetapi tidak diluluskan Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam berkata, daripada keperluan pembayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion yang dilaporkan, hanya RM63.5 bilion dibayar melalui Tabung Amanah, sepanjang tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Katanya, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion, pada 31 Mei lalu.

“Tabung Amanah adalah satu kumpulan wang yang diwujudkan bagi tujuan pembayaran balik GST di bawah Seksyen 54, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014).

“Semua bayaran GST dimasukkan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Disatukan yang kemudiannya akan dipindahkan kepada Tabung Amanah untuk membolehkan pembayaran balik GST dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media.

Subromaniam berkata, jumlah itu adalah berdasarkan kepada Borang GST-03 (untuk menuntut bayaran balik GST) yang difailkan ke dalam sistem GST Kastam oleh pembayar cukai.

“Oleh itu, pada 31 Mei lalu, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kegagalan BN kembalikan rebat GST punca pengguna tanggung kenaikan harga berganda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kegagalan kerajaan terdahulu membayar rebat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh ditetapkan menyebabkan modal pusingan peniaga terjejas.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan itu menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga barangan bagi menampung kehilangan modal pusingan perniagaan masing-masing.

“Seharusnya sebahagian kutipan GST untuk dibayar kembali kepada peniaga sama ada pengeluar, pemborong atau peniaga runcit yang dimasukkan ke dalam akaun wang cukai disatukan itu perlu disalurkan ke akaun wang amanah tetapi tidak dilakukan.

“Wang rebat yang harus dipulangkan kepada peniaga ini tidak dibayar dalam tempoh dua minggu atau ada yang tertangguh, sampai dua tahun. Ini menyebabkan peniaga kehilangan modal pusingan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Rosli berkata, akibat kegagalan itu pengguna terpaksa menanggung kenaikan berganda iaitu disebabkan peniaga kehilangan modal pusingan dan enam peratus GST itu sendiri.

Katanya, kerajaan yang ada hari ini perlu menjalankan siasatan menyeluruh bagaimana perkara itu terjadi dan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan terdahulu gagal membayar kembali tuntutan semula kutipan GST berjumlah kira-kira RM18 bilion kepada pengilang, pemborong dan peniaga runcit.