Categories
SELANGOR

Hanya tuhan tahu perasaan saya ketika itu

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA SELANGOR, 28 APR: Cuaca mendung yang menyelubungi Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar tidak memberi sebarang tanda perkara buruk akan berlaku, pada petang 17 April lalu.

Hujan lebat yang sering turun pada waktu petang dianggap biasa bagi lebih 300 penghuni di sekolah itu.

Seperti kebanyakan pelajar lain, Yahya Muhsin, 17, menggunakan waktunya untuk bersantai bersama guru di kantin sekolah, sementara pelajar lain menghabiskan masa di bilik asrama.

Aktiviti sukan pada waktu petang juga terpaksa dibatalkan ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

MB Lawat Maahad Tahfiz Al Ansar rosak ribut Kuala Selangor (6)Menceritakan suasana petang itu, Yahya terkejut apabila terdengar bunyi bising dari arah bilik asrama lelaki dan keadaan bertambah panik apabila pelajar bertempiaran lari menyelamatkan diri sebaik bumbung asrama terbang dibawa ribut.

Katanya, keadaan bertambah buruk apabila hujan lebat secara tiba-tiba dan melimpahi bilik asrama hingga berlaku kerosakan harta benda.

“Ketika itu, hanya Tuhan sahaja tahu perasaan saya apabila menyaksikan angin kuat menerbangkan bumbung asrama dan ia berlaku sekelip mata.

“Saya rasa takut dan sedih melihat situasi itu, nasib baik guru ada dan menenangkan pelajar yang panik,” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, Pmaahadengerusi maahad, Rosazli Md Yasin berkata, kejadian sekitar jam 5.45 petang terbabit berlaku ketika pelajar selesai solat Asar.

Katanya, kejadian itu bagaimanapun tidak mencederakan sesiapa walaupun ketika itu ramai yang berada di dalam bilik asrama.

“Saya bersyukur walaupun ketika bumbung terbang, ada benda yang jatuh tetapi tidak mencederakan pelajar. Angin yang kuat menyebabkan bumbung terangkat dan terbang ke bahagian belakang sekolah dan terkena kediaman salah seorang kakitangan,” katanya.

Bumbung asrama lelaki di maahad berkenaan rosak teruk akibat kejadian itu yang menyebabkan kira-kira 150 pelajar hilang tempat berteduh dan kini mereka ditempatkan di kawasan khemah serta meneruskan pembelajaran seperti biasa.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.