Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Penanaman padi 5 kali setahun, kesuburan tanah jadi pertikaian

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 APR: Penanaman padi lima kali dua tahun diyakini meningkatkan pengeluaran padi Selangor, seterusnya mengukuhkan ekonomi pesawah.

Lebih 40 tahun bergelumang di bendang, Fadzlin Taslimin, 67, mengingatkan pihak berkaitan untuk menyediakan prasarana lengkap.

“Kita tidak mahu gagal sebab prasarana tidak mencukupi, yang memberi kesan langsung kepada pengeluaran padi.

“Dengan tunjuk ajar dan cara betul, pasti matlamat meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan pesawah berjaya,” kata bapa kepada lima anak itu.

benih_padi_KSelangor_hires-WEB BARUMohd Maksum Ramli, 52, dari Sungai Besar pula berkata tanaman dua kali setahun tidak lagi produktif.

“Daripada biar tanah berehat lama, lebih baik dikerjakan. Hasil pun dapat kepada negeri, juga pesawah atau penyewa petak.

“Kalau biar lama pun, tikus berleluasa seterusnya penjagaan di sawah juga kurang, tanah terbiar,” kata Ketua Kumpulan Petani Barat Laut Selangor itu.

Zulkifli Ibrahim, 40, berpendapat tanaman lima kali dua tahun langkah terbaik membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.

“Contohnya, jika ibu tunggal yang sewakan petak sawah, sebelum ini mungkin dua tahun empat kali, tetapi lepas ini dapatlah wang sewa untuk lima kali dalam tempoh sama.

“Begitu juga dengan penduduk kampung, mungkin ada lebih peluang untuk mengerjakan sawah,” katanya.

Bagaimanapun, Abu Bakar Yahaya, 51, dari Sungai Burong berkata beliau mahu tanaman dua kali setahun diteruskan.

“Pengeluaran padi lebih berkualiti dengan keadaan tanah cukup rehat dan cukup masa dikerjakan pesawah.

“Kalau masa rehat pendek, kita pun tidak sempat kemas kini tanah, hasil juga dikhuatiri tidak memuaskan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.