Categories
SELANGOR

Ng Suee Lim dilantik pemangku Pengerusi PAC

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 APR: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini melantik Adun Sekinchan, Ng Suee Lim sebagai Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) negeri selepas hampir empat bulan jawatan terbabit kosong.

Speaker DNS, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dibuat selepas Barisan Nasional (BN) tidak melantik Ketua Pembangkang bagi mengisi kekosongan berkenaan.

Katanya, dengan kuasa sebagai Speaker , beliau melantik Suee Lim ke jawatan itu selepas Datuk Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burung) meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang, pada 8 Disember tahun lalu.

Hannah“Saya menulis surat dua kali kepada BN Selangor untuk mengemukakan nama Ketua Pembangkang baharu tetapi tiada sebarang reaksi diterima.

“Saya juga menawarkan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) yang menganggotai jawatankuasa PAC untuk mengetuainya tetapi tiada maklum balas,” katanya dalam sidang media, di lobi DNS, di sini, hari ini.

Hannah berkata, PAC perlu dipastikan berfungsi seperti jawatankuasa lain dan berikutan pelantikan Suee Lim, PAC akan mengadakan mesyuarat pertama, pada 15 April ini.

Dalam sidang DNS tahun lalu, dewan meluluskan usul pelantikan Pengerusi PAC disandang Ketua Pembangkang.

ngsueelimSementara itu, Suee Lim menjelaskan sudah menerima surat pelantikan itu daripada Hannah dan akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan kepadanya.

“PAC tidak menjalankan mesyuarat lebih tiga bulan dan Speaker membuat keputusan melantik saya memangku jawatan ini.

“Mesyuarat pertama akan diadakan selepas rombakan ini dengan jawatankuasa PAC dianggotai muka baharu seperti Adun Kajang (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Meru (Dr Abdul Rani Osman), Balakong (NG Tien Chee), Batu Tiga (Rodziah Ismail), Sungai Burung (Shamsuddin), Jeram (Amiruddin) dan saya sendiri.

“Saya kesal dengan BN yang tidak mahu menerima tawaran mengetuai PAC walaupun sudah diluluskan DNS,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.