Categories
SELANGOR

Panel Dialisis Sihat Selangor permudah pesakit luar Lembah Klang

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 APR: Panel Dialisis Sihat Selangor diwujud bagi memberi kemudahan pesakit buah pinggang di luar Lembah Klang mendapatkan rawatan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pesakit tidak perlu bersusah payah bergerak jauh mendapatkan perkhidmatan dialisis dengan kewujudan panel itu.

“Buat masa sekarang, pesakit perlu ke Pusat Dialisis Rakyat (PDR) yang kebanyakannya terletak di Lembah Klang.

daroyah“Selepas ini, tidak perlu kerana kita ada panel dilantik termasuk di Kuala Selangor, Sabak Bernam, Banting dan Sepang,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 21 April lalu, Daroyah menyertai Mesyuarat Penyelarasan Penubuhan Panel Dialisis Sihat Selangor bersama 48 panel dialisis swasta.

“Kebanyakan panel bersetuju bantuan ini dapat memberi peluang kepada pesakit mendapatkan rawatan awal sebelum mereka mendapat tajaan lain bagi meneruskan rawatan.

dialisis“Seperti sedia maklum, rawatan ini memerlukan perbelanjaan besar namun bantuan RM5,000 yang kita berikan diharap dapat meringankan beban,” katanya.

Buat masa ini, terdapat lima PDR iaitu di Ampang, Taman Medan, Lembah Keramat, Sementa dan Sri Muda.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) lalu, Daroyah mengumumkan RM1.2 juta diperuntuk bagi menjayakan program Panel Dialisis Sihat Selangor.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.