Categories
SELANGOR

SUKMA: Sultan mahu kontinjen elakkan kontroversi

Oleh: AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 10 APR : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap tiada kontroversi melanda Kontinjen Sukma 2016 bagi menjaga nama baik atlet dan pasukan negeri.

Baginda juga lebih berkenan jika Kontinjen Selangor mencari slogan yang bersemangat dan tidak mengandungi unsur politik.

Titah baginda, inspirasi dan semangat sukan tidak boleh dicemari dengan unsur politik atau perkauman.

”Beta menyeru kepada badan-badan sukan, atlet dan para penyokong sukan hendaklah mengenepikan fahaman politik dan jangan dibawa masuk ke dalam pentadbiran sukan.

“Beta tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau menganggap kontinjen Selangor mencampur aduk atau cuba berpolitik dalam sukan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor di Hotel Holiday Villa, dekat sini, hari ini.

Baginda turut bertitah, kegemilangan sukan negeri itu perlu dikembalikan seperti era 60-an hingga 80-an yang menjadikan Selangor terkenal serta dihormati.

Baginda bertitah, penurunan ketara Kontinjen Selangor pada Kejohanan Sukma lepas perlu diambil perhatian, apatah lagi Kerajaan Negeri banyak menyediakan kemudahan sukan.

“Maka, atlet dan pasukan yang mewakili  Selangor sepatutnya menjadi juara di setiap kejohanan sukan, tetapi mengapa perkara tersebut tidak berlaku?

” Oleh itu, pengurus pasukan, pegawai serta atlet perlu membuat post-mortem bagi mencari punca kejatuhan ini kerana jika tidak ditangani dengan baik,  beta khuatir pasukan Selangor akan berhadapan zaman kemunduran dan terus ketinggalan di belakang,” titah baginda.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.