Categories
NASIONAL

Hanya 68% keluar mengundi PRK Permatang Pauh

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PERMATANG PAUH, 5 MEI: Kaji selidik yang dijalankan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh hanya 68 peratus.

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, pihaknya memperoleh statistik terbabit selepas kaji selidik melibatkan 406 responden yang juga pengundi Permatang Pauh melalui panggilan telefon.

Beliau berkata, petanda buruk jika keputusan kaji selidik menjadi kenyataan seperti yang berlaku dalam PRK Teluk Intan sebelum ini.

Jom Balik Undi“Kita tanya kepada mereka, adakah akan pulang mengundi. Kurang dari 70 peratus iaitu hanya 68 peratus sahaja yang kata akan balik.

“Ini membimbangkan kerana calon PRK Teluk Intan, Dyana Sofya menerima pengalaman buruk apabila kurang daripada 70 peratus keluar mengundi,” katanya dalam sidang media di Pusat Media PKR, di Yayasan Aman, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berharap pengundi di Permatang Pauh keluar mengundi bagi memastikan mesej bantahan dan hala tuju negara berada di landasan betul.

“Kita tak akan jangka apa-apa. Kita serahkan kepada pengundi menentukan hala tuju negara ini. Jika perlu perubahan, kami seru pengundi balik ke kampung untuk mengundi,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.