Categories
SENI

Hikayat Raja Babi: Berani, licik & ‘kurang ajar’

Oleh Al Ghazali

Bertih Jawa bidara puan,
Antah tepung dalam gantang,
Putih dia bicara tuan,
Orang mengepung sudah datang.

Puan bertanjak bunga melati,
Diampu pula dengan kain,
Bukan aku takut akan mati,
Sesalku tidak puas bermain.

Dua rangkap pantun nakal dalam halaman terakhir buku Hikayat Raja Babi menutup pembacaan sekaligus membuatkan saya menyeringai puas. Ini kali pertama saya membaca sebuah hikayat Melayu lama, dan langsung terpukau dengan advencer seorang raja yang termuat di dalamnya.

Sewaktu kecil saya pernah terhibur dengan cerita Kembara Ke Barat yang mengisahkan tentang seorang sami Dinasti Tang bernama Xuanzang yang ditemani tiga pengikutnya iaitu mo-nyet bernama Sun Wukong, babi bernama Zhu Bajie, Sha Wujing dan seekor kuda putih.

Kisah hikayat ini ditulis oleh seorang pengarang Dinasti Ming pada kurun ke-16. Ia mengisahkan tentang kembara suka duka seorang sami dalam memperoleh teks sutra suci agamanya.

Hikayat Raja Babi dan Kembara Ke Barat adalah dua naskhah hikayat yang berbeza tetapi ia memiliki persamaan daripada segi konteks sezaman yang cuba digambarkan oleh Usup Abdul Kadir dan Wu Cheng’en sebagai pengarangnya.

Wu Cheng’en menyambung tradisi penceritaan bangsanya dengan perlambangan, mitologi Cina, falsafah ke-agamaan Tao dan Buddha, kepercayaan pagan tanah besar, nilai ketinggian moral dalam rukun amalan Tao, dan bodhisattvas bawaan Buddha yang sudah bersebati dengan karakter masyarakat Cina. Walaupun sudah ratusan tahun teks ini ditulis, ia masih lagi relevan dengan suasana masyarakat zaman moden.

Seperti Wu Cheng’en, naskhah tulisan Usup Abdul Kadir ini juga menyambung tradisi penceritaan bangsa Melayu yang kaya dengan kiasan, nilai murni keagamaan Islam, ketinggian akal budi, kehalusan bahasa pertuturan, penggunaan pantun sebagai medium nasihat, dan juga sikap berani orang Melayu yang tidak takut menegur pemerintah.

Usup menjalinnya secara berseni dengan memuatkan kisah pengembaraan yang komikal, padat dengan aksi pertarungan, dan alegori yang sangat tajam dengan tujuan menghantar satu sindiran khusus kepada golongan raja ketika itu.

Meskipun ruang perdebatan tentang matlamat penulisan Hikayat Raja Babi ini masih terbuka, melalui tajuknya yang provokatif, kita boleh katakan yang ia memang sengaja ditulis bagi menjentik sikap pemerintah pada zaman itu. Raja adalah satu satu sosok yang agung dalam kehidupan masyarakat Melayu, yang terletak di tahap yang tertinggi. Titah seorang raja adalah perintah mutlak yang tidak boleh dipedulikan.

Tetapi apabila satu sosok mulia digabungkan dengan seekor binatang yang dianggap kotor dan perlu dihindari, ia tentunya memberikan satu gambaran kekacauan sistem beraja hingga Usup tergamak mahu menulisnya. Usup bukan setakat berjiwa besi malah dia seorang pengarang yang licik. Dia mempersembahkan ceritanya secara sinis,tetapi kaya dengan lapis makna dan membawa tafsiran yang pelbagai.

Usup memahami akal budi orang Melayu meskipun berketurunan khoja. Hikayat bukan sesuatu yang baru dalam tradisi persuratan orang Melayu. Penulisan hikayat adalah arketaip cara orang Melayu dahulukala mengkritik. Orang Melayu jiwanya sensitif dan tidak boleh ditegur secara terbuka.

Tetapi mereka boleh menerima kritikan yang dibuat dengan nada humor dan bergelak ketawa. Inilah sebab kenapa Usup tidak dihukum oleh pemerintah walaupun menyentuh keras perihal keduduk-an raja. Usup menegur dengan bahasa yang terkawal dan tidak bernada serius.

Tidak terlalu berhati-hati dan tidak juga terlalu memberontak. Usup membidas sama seperti pekerti orang Melayu, peringatannya keras dalam lembut, namun isinya tetap berbisa.

Usup seorang peranakan Kuj yang berlayar dari Semarang ke Palembang atas urusan bisnes.  Apabila perniagaannya tidak mendapat sambutan, dia berlabuh di Sungai Lawang dan menghiburkan hatinya dengan menulis. Hikayat ini disukai di Semarang dan disimpan oleh tiga generasi pemilik.

Manuskrip ini diperoleh oleh John Crawfund yang berkhidmat dengan pentadbiran British di Jawa dari 1811-1816. Dia menjual koleksi manuskrip Indonesia miliknya ke British Museum pada 1842. Ia wujud secara tunggal dan tidak ada di mana-mana perpustakaan di dunia.

Amir Muhammad melalui Buku Fixi menerbitkannya semula dalam versi rumi. Hikayat ini satu khazanah penting orang Melayu yang cuba dipopularkan semula dan usaha ini perlu diberi pujian.

Hikayat Raja Babi tulisan Usup Abdul Kadir membawa isi penting yang terus relevan dengan kehendak masyarakat bawahan. Ia kaya dengan ketinggian budi bahasa orang Melayu yang berani mengkritik secara halus bagi melindungi niat kurang ajar. Naskhah ini penting untuk orang zaman dahulu, masih lagi penting untuk orang masa kini, dan tetap kekal penting untuk orang zaman akan datang.

Usup Abdul Kadir menjadi bukti kewibawaan pengarang Melayu yang tidak takut menunjukkan sikap, dan berani menyampaikan kebenaran melalui mata pena, walaupun terpaksa melanggar daulat seorang raja.

Leave a Reply

Your email address will not be published.