Categories
NASIONAL

Lupuskan pegangan dalam 1MDB, lindungi hak pencarum

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MEI: Agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) perlu melupuskan pegangan serta pelaburan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi melindungi kepentingan pencarum.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, Kerajaan Persekutuan akan berunding dengan agensi terbabit untuk melengahkan pembayaran atau menggantikannya dengan aset bukan tunai untuk membantu aliran tunai perbendaharaan negara jika 1MDB gagal.

Beliau menjangkakan KWAP, KWSP dan LTH berkemungkinan besar terpaksa akur dengan permintaan Kerajaan Persekutuan.

Tabung Haji“Bukan mudah untuk mengutip hutang dari 1MDB apabila syarikat itu gagal seperti yang diwar-warkan beberapa pihak sebelum ini.

“Tambahan pula, hutang RM42 bilion oleh 1MDB itu berhadapan dengan risiko ‘cross default’ iaitu kegagalan berturut-turut membayar hutang apabila gagal membayar satu hutang ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lebih teruk, katanya, kepentingan Kerajaan Persekutuan adalah memulihkan sistem kewangan negara, maka sebarang tuntutan KWAP, KWSP dan LTH akan dilengah-lengahkan.

“Dengan segala masalah yang dihadapi, 1MDB menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan. Lebih selamat jika KWAP, KWSP dan LTH mengambil pendirian ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

yb rafizi parlimen“Saya menggesa tiga agensi ini dengan segera membuat keputusan melupuskan pegangan dan pelaburan dalam 1MDB terutama membabitkan bon bagi melindungi kepentingan pencarum,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan KWAP juga mempunyai pelaburan dan pegangan RM1.4 bilion di dalam empat anak syarikat 1MDB termasuk Bandar Malaysia Sdn Bhd.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, jawapan perdana menteri juga mengesahkan KWSP terdedah kepada risiko kewangan 1MDB melalui pelaburan dan pegangannya berjumlah RM1.72 bilion.

“Ini bermakna daripada RM1.5 bilion bon yang diterbitkan 1MDB (melalui Bandar Malaysia Sdn Bhd) bagi membiayai penempatan semula operasi ketenteraan di Kem Udara Sungai Besi, RM920.8 juta sudah dilanggan LTH dan besar kemungkinan baki RM579.2 juta dilanggan KWAP,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.