Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Delegasi Selangor usaha tarik pelabur Jepun tingkat kerjasama

OSAKA, 25 MEI: Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan Misi Penggalakan Pelaburan Negeri Selangor ke Osaka, Jepun yang diketuai oleh YAB Tuan Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor.

Fokus utama lawatan ke Jepun dan Korea bagi tahun ini adalah bagi menarik pelaburan dari sektor industri farmaseutikal, sains hayat dan teknologi hijau selainkan mempromosikan kawasan perindustrian di Negeri Selangor.

image 5-1Dato’ Menteri Besar Selangor telah dijemput untuk makan tengahari dengan pengurusan tertinggi syarikat Hisakaworks Co. Ltd di Osaka.

Pertemuan ini adalah bertujuan untuk meninjau perkembangan syarikat Hisakaworks di Osaka selain dari membantu pihak syarikat yang kini turut beroperasi di Subang Jaya di dalam membantu mempercepatkan proses permohonan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan untuk tambahan pelaburan mereka di Selangor.

Syarikat Hisakaworks hanya memulakan operasi mereka di Subang Jaya pada tahun 2012 dan telah menambah pelaburan pada tahun lalu bagi pengeluaran Plate Heat Exchanger.

‘Seminar on Investment Opportunities in Selangor’ telah diadakan di Rihga Royal Hotel, Osaka di mana seramai kira-kira 30 pelabur yang berpotensi untuk melabur di Selangor di dalam sektor Sains Hayat dan Teknologi Hijau telah hadir bagi meninjau peluang-peluang pelaburan yang di tawarkan oleh kerajaan negeri disamping mempromosikan Japanese Industrial Park dan Kawasan Perindustrian Pulau Indah.

Hasil daripada seminar tersebut, beberapa syarikat turut menunjukkan minat yang mendalam untuk melihat potensi pelaburan di Selangor dan pihak Invest Selangor Berhad telah memaklumkan kepada peserta seminar bahawa mereka sedia untuk membantu syarikat-syarikat yang berpotensi untuk melabur di Selangor.
Delegasi Selangor juga telah mengadakan Kunjungan Hormat ke Panasonic Center iaitu Pusat Komunikasi Global mereka bagi melihat teknologi-teknologi terbaru yang dikeluarkan oleh syarikat gergasi dari Jepun itu.

Panasonic telah menubuhkan Pusat Operasi Serantau di Selangor sebulan lalu dan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor turut menjemput syarikat Panasonic untuk menubuhkan Pusat Komunikasi bagi rantau Asia di Selangor.

Hari pertama diakhiri dengan makan malam bersama pengurusan tertinggi syarikat Daikin Co. Ltd. Syarikat Daikin merupakan sebuah syarikat pengeluar penghawa dingin terbesar di Jepun juga turut beroperasi di Selangor dibawah nama OYL Manufacturing Company Sdn. Bhd sejak sekian lama dengan nilai pelaburan yang besar serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan di Selangor.

YAB Dato’ Menteri Besar Selangor juga turut mengundang syarikat OYL Manufacturing untuk terus menambah pelaburan di Selangor dan pihak kerajaan negeri bersedia membantu untuk tujuan tersebut.

YAB Dato’ Menteri Besar juga turut mengundang pengurusan tertinggi syarikat untuk ke Selangor untuk melihat sendiri kawasan-kawasan perindustrian baru yang boleh dibangunkan untuk operasi syarikat pada masa akan datang.

Disediakan Oleh:
Invest Selangor Berhad

Leave a Reply

Your email address will not be published.