Categories
NASIONAL

Tetap sayang walau Selangor tewaskan Pulau Pinang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PERMATANG PAUH, 6 MEI: Pilihan Selangor Legend menunjukkan taringnya di halaman lawan apabila berjaya menumpaskan Pilihan Pulau Pinang Legend 4-3 dalam perlawanan bola sepak, di sini, semalam.

Perlawanan yang berlangsung dalam suasana ceria itu menampilkan bintang bola sepak veteran dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Selangor serta Pulau Pinang.

Antara pemain veteran yang turun mempamerkan kemahiran mereka adalah Khalid Ali, Hassan Miskam, Shukor Salleh dan Nizaruddin Yusuf

_MG_5526Tokoh politik pula adalah Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali; Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amiruddin Shari dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.

Perlawanan yang berlangsung di Padang Mengkuang Semarak disaksikan kira-kira 150 penonton yang memperlihatkan pasukan Pilihan Pulau Pinang Legend menguasai perlawanan pada minit awal.

Pilihan Selangor Legend hampir mendahului selepas Amiruddin berjaya melorongkan hantaran cantik kepada Mohamed Azmin tetapi sepakan beliau melambung tinggi mengatasi palang gol.

Selepas Pilihan Pulau Pinang Legend mendahului 1-0, Amiruddin yang kelihatan tidak kekok bermain di posisi penyerang berjaya menggelecek pertahanan lawan sebelum melakukan beberapa hantaran ke pintu gol.

_MG_5416Perlawanan yang berlangsung penuh semangat kesukanan itu berakhir dengan kemenangan Pilihan Selangor Legend 4-3.

Perlawanan itu turut disaksikan calon Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib.

Ketika diminta mengulas perlawanan persahabatan itu, Dr Wan Azizah memberitahu Selangor Kini, beliau tidak dapat memilih pasukan mana untuk disokong kerana sayang dua negeri itu.

“Permainan tadi meringankan sedikit tekanan musim pilihan raya ini. Amat menghiburkan tetapi saya kena pertimbangkannya, berbelah bahagi sebab ini adalah Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.