Categories
SELANGOR

Weng San: “Maaf jika kesilapan ini timbulkan salah faham”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 MEI: Dakwaan bahawa DAP mengakui pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih cekap berbanding Mohamed Azmin Ali tidak tepat.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, jawapan yang diterima lebih lengkap ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pada Mac 2012.

“Laporan ini tak tepat kerana isu yang dibincangkan dalam sidang media saya bertarikh 18 Mei tiada kaitan dengan DAP.

lau weng san“Kedua, perkataan lengkap tak boleh disama erti dengan cekap. Saya tak bermaksud pentadbiran Abdul Khalid lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau dalam pertanyaan bertulis kepada Mohamed Azmin mahu Kerajaan Negeri menyenaraikan gaji, elaun dan bonus kakitangan atasan GLC, pada Mac lalu.

Namun, jawapan bertulis yang diterima menggesa Weng San mengemukakan permohonan bertulis kepada Mohamed Azmin atau setiausaha dewan.

Jawapan itu turut mengingatkan beliau supaya bertanggungjawab atas maklumat yang tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Ekoran itu, beliau menerima respon daripada pihak Dato’ Menteri Besar pada 18 dan 19 Mei lalu berkenaan jawapan yang diterimanya ketika sidang DNS itu.

Katanya, Mohamed Azmin memaklumkan sudah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk mempercepatkan pemprosesan maklumat berkenaan.

dns“Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar dan pejabatnya kerana prihatin dengan isu yang dibangkitkan.

“Sememangnya, ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat adalah mercu tanda yang perlu dipertahankan setiap masa,” katanya.

Beliau turut mengakui sudah menulis kepada Pejabat Menteri Besar dalam jawapan bertulis yang diterimanya dan hanya menunggu tindakan selanjutnya.

“Saya memohon maaf jika kesilapan ini menyebabkan perselisihan faham yang tak diperlukan. Saya juga kesal dengan kesilapan laporan ini dan memohon pihak berkenaan memperbetulkannya secepat mungkin,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.