Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Saringan 9,000 penduduk di Kuala Langat selesai Jumaat

KUALA LANGAT, 3 JUN: Ujian saringan Covid-19 ke atas 9,000 penduduk di dua taman perumahan di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran bermula malam Selasa dijangka selesai Jumaat ini, kata Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim.

Beliau berkata dua taman perumahan terlibat iaitu Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran sehingga 16 Jun ini.

Kedua-dua lokasi itu dikenakan PKP secara pentadbiran ekoran 20 pekerja asing sebuah syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di kawasan berkenaan didapati positif Covid-19 pada Khamis lepas.

“Daripada 9,000 penduduk di sini, 30 peratus merupakan warga asing manakala bakinya adalah warga tempatan. Setakat Jumaat lepas, seramai 114 kontak rapat dengan pesakit dikenal pasti dan diasingkan di stesen kuarantin Institut Latihan Islam Malaysia serta Institut Latihan Perundangan dan Kehakiman di Bangi.

“Sejak Sabtu hingga semalam, sebanyak 2,250 sampel diambil iaitu 1,499 sampel warga tempatan dan 751 warga asing. Dengan keupayaan 2,000 sampel ujian swab boleh dilakukan sehari, kita jangka pada Jumaat ini, kesemua 9,000 penduduk selesai jalani ujian saringan Covid-19,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Penduduk setempat beratur menunggu giliran dan diberi sanitizer sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan di Pangsapuri Taman Langat Murni, pada 3 Jun 2020. FOTO: BERNAMA

Menurut Mohd Jusni, PKP secara pentadbiran di kawasan berkenaan dibahagikan kepada tiga zon melibatkan 1,752 buah rumah.

“Zon A melibatkan 480 rumah, zon B sebanyak 778 rumah dan zon C 494 rumah. Setakat ini, ia merupakan kawasan yang dikenakan PKP pentadbiran yang terbesar melibatkan kawasan seluas 43.3 hektar dengan pemasangan kawat berduri sepanjang empat kilometer.

“Sebanyak 664 petugas barisan hadapan terdiri daripada polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan memantau kawasan ini sepanjang pelaksanaan PKP pentadbiran,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun kedua-dua taman perumahan itu dikenakan PKP secara pentadbiran namun penduduk tempatan yang belum menjalani ujian saringan Covid-19 masih boleh keluar masuk atas tujuan dibenarkan sahaja.

Bagi penduduk tempatan yang selesai ujian saringan itu, katanya, mereka perlu kuarantinkan diri di rumah masing-masing selama 14 hari namun untuk warga asing, golongan itu tidak dibenarkan keluar daripada lokasi berkenaan sehingga tamat tempoh perintah itu.

Mengulas mengenai operasi premis perniagaan di lokasi itu sepanjang PKP secara pentadbiran dilaksanakan, Mohd Jusni berkata kedai makan dan kedai runcit masih dibenarkan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan iaitu dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Beliau turut menyarankan badan bukan kerajaan yang berhasrat menyalurkan barangan keperluan kepada penduduk di lokasi terbabit supaya mendaftarkan sumbangan dengan Jabatan Kebajikan Malaysia terlebih dahulu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam perlu profesional dalam situasi perubahan pentadbiran

PUTRAJAYA, 26 FEB: Perkhidmatan awam adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional, dalam mendepani situasi perubahan pentadbiran negara, menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).

JPM dalam kenyataan yang dikeluarkan berhubung peranan penjawat awam menyatakan, penjawat awam perlu menjauhkan diri dari kancah politik, demi menjaga integriti dan profesionalisma perkhidmatan awam, bagi memberikan perkhidmatan terbaik, tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan.

“Semua penjawat awam perlu bijak mendepani cabaran dan memberi tumpuan kepada menguruskan risiko dan sentiasa turun padang untuk melihat perkembangan,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan JPM itu menyatakan perkhidmatan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan prinsip penyampaian yang terbaik selaras dengan slogan “Saya Yang Menjalankan Amanah”, kerana rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada penjawat awam, untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Mengurus perubahan merupakan satu tugas yang sukar dan mencabar. Namun, dengan teraju Ketua Setiausaha Negara bersama 1.6 juta penjawat awam, tugas ini akan dilaksanakan dengan penuh amanah, bertanggungjawab, pantas, serta bebas dari kesilapan dan persepsi negatif,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penjawat awam sentiasa bersedia dengan kefahaman, komunikasi dan kaedah interaksi yang sesuai, dalam mendepani apa juga bentuk perubahan pasukan baharu kelak, ke arah mengukuhkan pentadbiran negara.

“Penjawat awam akan sentiasa mempunyai sifat berdaya tahan dan mudah untuk menyesuaikan diri dalam melaksanakan tanggungjawab kelak, bagi memenuhi ekspektasi rakyat selaku pemegang taruh (stakeholder) kepada pihak kerajaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ahli Akademik saran sistem dua penggal liputi semua peringkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 MAC: Sistem mengehadkan pemegang jawatan perdana menteri dan menteri besar kepada dua penggal seperti dalam Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan wajar diperluaskan dalam semua peringkat pentadbiran awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, langkah itu terbukti berkesan apabila Indonesia berjaya mengurangkan amalan salah guna kuasa selepas melaksanakannya dalam pentadbiran awam, negara jiran terbabit

“Idea ini pada peringkat awal mungkin boleh dicadang dalam sistem politik tetapi kita juga perlu melihat dalam kerangka lebih luas terutama dalam aspek pentadbiran untuk mengehadkan tempoh seseorang itu menjadi ketua jabatan misalnya.

“Bukan sahaja peringkat ketua jabatan tetapi juga jawatan pengarah dan peringkat pertengahan juga perlu juga dihadkan dua penggal atau 10 tahun seperti jawatan pengetua sekolah dan jawatan lain sebelum dipindahkan.

“Sistem ini di Indonesia sangat berjaya kerana mampu mengurangkan salah guna kuasa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, semalam.

Katanya, sama seperti anggota pentadbiran awam dan GLC, maka jawatan tertinggi dan jawatan penting lain dalam semua sektor berkepentingan awam juga perlu dihadkan.

Sebelum ini, PAKATAN dalam ‘Buku Harapan – Membina Negara Memenuhi Harapan’ menggariskan 14 perkara dalam janji utama yang bakal dilaksanakan, dalam tempoh lima tahun.

Antara janji itu termasuk mengehadkan dua penggal jawatan perdana menteri dan menteri besar, memperkasakan perkhidmatan awam, memacu ekonomi dan daya saing negara, satu juga pekerjaan baru berkualiti, hapuskan tol secara berperingkat, pendidikan percuma untuk institusi pengajian tinggi awam , gaji minima RM1,500 secara berperingkat dan reformasi institusi negara.

Selain itu, dalam tempoh lima tahun juga PAKATAN berjanji untuk desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak, membina Malaysia inklusif, moderat dan gemilang, utamakan pekerja tempatan, mengurangkan pekerja asing secara berperingkat dan mengekalkan BR1M kepada golongan B40.

Categories
SELANGOR

Weng San: “Maaf jika kesilapan ini timbulkan salah faham”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 MEI: Dakwaan bahawa DAP mengakui pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih cekap berbanding Mohamed Azmin Ali tidak tepat.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, jawapan yang diterima lebih lengkap ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pada Mac 2012.

“Laporan ini tak tepat kerana isu yang dibincangkan dalam sidang media saya bertarikh 18 Mei tiada kaitan dengan DAP.

lau weng san“Kedua, perkataan lengkap tak boleh disama erti dengan cekap. Saya tak bermaksud pentadbiran Abdul Khalid lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau dalam pertanyaan bertulis kepada Mohamed Azmin mahu Kerajaan Negeri menyenaraikan gaji, elaun dan bonus kakitangan atasan GLC, pada Mac lalu.

Namun, jawapan bertulis yang diterima menggesa Weng San mengemukakan permohonan bertulis kepada Mohamed Azmin atau setiausaha dewan.

Jawapan itu turut mengingatkan beliau supaya bertanggungjawab atas maklumat yang tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Ekoran itu, beliau menerima respon daripada pihak Dato’ Menteri Besar pada 18 dan 19 Mei lalu berkenaan jawapan yang diterimanya ketika sidang DNS itu.

Katanya, Mohamed Azmin memaklumkan sudah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk mempercepatkan pemprosesan maklumat berkenaan.

dns“Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar dan pejabatnya kerana prihatin dengan isu yang dibangkitkan.

“Sememangnya, ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat adalah mercu tanda yang perlu dipertahankan setiap masa,” katanya.

Beliau turut mengakui sudah menulis kepada Pejabat Menteri Besar dalam jawapan bertulis yang diterimanya dan hanya menunggu tindakan selanjutnya.

“Saya memohon maaf jika kesilapan ini menyebabkan perselisihan faham yang tak diperlukan. Saya juga kesal dengan kesilapan laporan ini dan memohon pihak berkenaan memperbetulkannya secepat mungkin,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Tak maksudkan pentadbiran Khalid Ibrahim lebih cekap

Oleh: LAU WENG SAN

Saya terkejut dengan laporan Free Malaysia Today (FMT) bertajuk “DAP akui pentadbiran Khalid Ibrahim lebih cekap” yang disiarkan pada 19 Mei 2015 di mana telah dilaporkan bahawa “DAP mengakui pentadbiran Selangor di bawah mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih cekap.”
Pertama sekali, laporan ini adalah tidak tepat kerana isu yang dibincangkan dalam sidang media saya bertarikh 18 Mei tiada kaitan dengan parti DAP.
Kedua, saya mengatakan dalam sidang media berkenaan ialah saya pernah membangkitkan perkara yang hampir sama dalam sidang DUN pada Mac 2012 dan jawapan yang saya terima pada masa itu adalah lebih lengkap. Namun begitu, perkataan “lengkap” tidak boleh disama-ertikan dengan maksud atau perkataan “cekap”. Lebih-lebih lagi, saya tidak bermaksud bahawa pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap.
Saya juga menerima panggilan telefon daripada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Politik beliau pada petang 18 Mei dan 19 Mei 2015 berkenaan dengan jawapan yang diterima saya terhadap soalan saya semasa sidang Dewan Negeri (DUN) Selangor tentang senarai nama, jawatan, gaji, bonus dan elaun yang dibayar kepada ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan kanan peringkat pengurusan di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor.
YAB Dato’ Menteri Besar telah memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk mempercepatkan pemprosesan maklumat berkenaan.
Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada YAB Dato’ Menteri Besar  dan pejabatnya kerana prihatin dengan isu yang dibangktikan saya. Sememangnya, ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat merupakan mercu tanda atau “hallmark” yang perlu dipertahankan pada setiap masa.
Dalam jawapan bertulis yang diterima saya terhadap soalan bertulis saya ini, saya telah diminta untuk menulis kepada Pejabat Menteri Besar untuk mendapatkan jawapan tersebut.
Saya telah berbuat seperti apa yang diminta dan saya ingin menekankan sekali lagi bahawa memang Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor memang ada menjawab surat saya di mana perkara itu telah diajukan kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya. Maka saya akan menunggu jawapan daripada pegawai-pegawai yang berkenaan.
Saya memohon maaf jikalau kesilapan ini telah menyebabkan perselisihan faham yang tidak diperlukan. Saya juga berasa kesal dengan kesilapan laporan ini dan memohon pihak yang berkenaan untuk memperbetulkan kesilapan ini secepat mungkin.
# Lau Weng San adalah Adun Kampung Tunku
Categories
SELANGOR

Revolusi Budaya Korporat PKNS Tingkatkan Budaya Kerja Dan Daya Saing

PKNS revolusi budaya korporat 01

SHAH ALAM 18 JULAI : Sebagai sebuah syarikat yang sentiasa memerlukan hubungan rapat dengan pelanggan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menganjurkan Program Revolusi Budaya Korporat khusus untuk semua kakitangannya.

Program ini diyakini dapat meningkatkan budaya kerja, perjalanan operasi, pentadbiran, hal-hal perlantikan anggota PKNS, supaya sentiasa dilihat sebagai sebuah syarikat yang sentiasa bergerak positif ke hadapan.

Pengurus Besar Akademi PKNS, Idris Ishak berkata, menerusi program ini, setiap kakitangan PKNS bebas mengemukakan idea dan pandangan untuk menambahbaik lagi PKNS di masa hadapan.

“Hasrat kita adalah untuk menjadikan PKNS ini sebagai persekitaran kerja yang lebih menyeronokkan seterusnya anggotanya lebih bermotivasi dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya kepada TVSelangor.

Dalam pada itu, program ini disertai lebih 1,040 kakitangan PKNS pelbagai bidang tugas dengan seramai 60 orang individu dilantik sebagai ‘Key Influencer’ untuk membantu menjayakan program ini.

Menurut Idris, rata-rata kakitangan PKNS menyambut baik budaya ‘No Blame’ atau ‘tiada salah-menyalahkan’ yang merupakan salah satu matlamat utama yang ingin dicapai melalui program ini.

“Kebanyakan peserta program ini merasa gembira apabila pembentangan cadangan penambahbaikan diterima oleh pihak pengurusan yang berjanji untuk menimbang cadangan penambahbaikan yang diberikan,” katanya lagi yang merupakan Penyelaras Program itu.