Categories
NASIONAL

FOMCA: Kawal kadar kenaikan tol, jangan terlalu mendadak

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 JUN: Kerajaan perlu mengawal kenaikan kadar tol jika syarikat konsesi bertegas mengenakan harga baru, kata Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman.

Beliau berkata, langkah itu supaya pihak konsesi tidak menaikkan kadar tol  terlalu mendadak walaupun mereka  akan menaikkannya setiap tiga atau lima tahun dalam perjanjian.

FOMCA“Oleh kerana banyak kali penangguhan untuk kenaikan ini dilakukan, ia akan menyebabkan pengguna akan merasai kenaikan sehingga 30 peratus.

“Kita faham syarikat konsesi perlu menaiktaraf lebuh raya demi keselamatan pengguna. Kerajaan boleh membenarkan kenaikan itu tetapi perlu mengawal supaya tidak terlalu mendadak,” katanya kepada Selangor Kini.

Yusof berkata, kerajaan juga terpaksa membayar pampasan yang banyak jika tidak membenarkan kenaikan dicadangkan syarikat konsesi itu.

“Duit kerajaan adalah duit rakyat. Rakyat akan turut terpalit kerana lagi lama kadar semakan tidak dilakukan, ia menyebabkan kenaikan yang banyak,” katanya.

plaza tolBeliau juga mahu kerajaan menyemak semula perjanjian konsesi yang berat sebelah dan pengurangan kadar tol perlu dilaksanakan terhadap syarikat yang sudah mendapat pulangan.

“Semak semula, turunkan harga tol bagi konsesi yang sudah mendapat pulangan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan syarikat konsesi memberikan rebat kepada pengguna tegar laluan lebuh raya bagi membantu mereka jika terdapat kenaikan secara berterusan.

Semalam, Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) bersedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk memohon kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya di negara ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.