Categories
SELANGOR

Khidmat percuma pada ulang tahun ke-9 Petaling Jaya

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 JUN: Warga Petaling Jaya berpeluang menikmati pelbagai perkhidmatan percuma sempena ulang tahun kesembilan bandaraya itu, pada pada 20 Jun ini.

Menurut kenyataan Jabatan Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), perkhidmatan percuma itu antaranya melibatkan pengecualian bayaran bagi penggunaan dewan, gelanggang sukan dan kolam renang.

Kolam renang boleh digunakan percuma bermula jam 9 pagi hingga 9 malam, gelanggang sukan (8 pagi hingga 11 malam), manakala padang (8 pagi hingga 7 malam).

MBPJBagaimanapun, penggunaan Dewan Banquet, Auditorium, Dataran Petaling Jaya dan Stadium Petaling Jaya dikecualikan dan tertakluk kepada terma serta syarat.

Bagi menggalakkan persekitaran hijau, MBPJ turut menghadiahkan 1,000 pokok hiasan dan palma percuma yang boleh diambil di Nurseri Jalan Penchala, bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Selain itu, orang ramai turut berpeluang memperbaharui atau melakukan pendaftaran baru keahlian Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya secara percuma yang bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

Promosi istimewa itu bagaimanapun terhad kepada 300 orang pertama sahaja.

Untuk maklumat lanjut, boleh mengunjungi laman sesawang rasmi MBPJ di www.mbpj.gov.my atau ke Facebook, Petaling Jaya City Council.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.