Categories
SELANGOR

Luang masa 10 minit jelas prosedur pernikahan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JUN: Surat kebenaran poligami tamat tempoh dan kegagalan membawa kad pengenalan di hari pernikahan menjadi sebahagiaan coretan kenangan buat Penolong Pendaftar Perkahwinan Contoh Terbaik Negeri Selangor 2015, Bahari Bustamam.

Dengan pengalaman hampir 10 tahun sebagai Penolong Pendaftar Perkahwinan, kejadian itu memaksanya menangguhkan pernikahan disebabkan maklumat tidak lengkap seperti yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Tempoh surat kebenaran poligami sebulan, namun pengantin terlupa ia sudah tamat lebih seminggu tetapi kenduri sedang berlangsung masa itu. Saya tidak boleh menikahkan mereka dan pengantin terpaksa ke Mahkamah Syariah untuk memohon kebenaran semula.

IMG_7765“Yang lebih kritikal, pengantin tidak membawa kad pengenalan walaupun ia sangat penting.

“Bila maklumat tidak lengkap dan pernikahan diteruskan, maka ia memberi kesan kepada penolong pendaftar perkahwinan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memberikan penerangan sebaiknya kepada anak yang ingin berkahwin terutama berkenaan sistem pengisian borang atas talian yang diamalkan kini.

“Bakal pengantin dinasihat memberi perhatian ketika kursus pra-perkahwinan berkenaan prosedur yang perlu dipatuhi selain asas tanggungjawab sebagai suami isteri selepas berkeluarga.

“Nasihat saya penolong pendaftar lain, sebelum pernikahan luangkan masa 10 minit untuk memberi penjelasan kepada ibu bapa dan hadirin berkenaan prosedur perkahwinan.

“Ramai yang tidak ambil serius perkara ini. Kita sebagai penolong pendaftar perkahwinan kena terangkan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.