Categories
SELANGOR

MB serah kunci rumah mangsa banjir kepada Kerajaan Kelantan

Oleh: NAEEM RAFFI

KUALA KRAI, 17 JUN: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Banjir di Manik Urai kepada Kerajaan Kelantan.

Pembinaan 60 unit Rumah Darul Ehsan dengan kos hampir RM6 juta itu atas rasa tanggungjawab Selangor membantu rakyat Kelantan yang memerlukan pembelaan selepas kehilangan tempat berteduh akibat bencana banjir, pada Disember lalu.

“Selangor mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik, tetapi ia tidak membawa sebarang makna jika kekayaan itu gagal diagih secara adil bukan sahaja kepada rakyat negeri ini, bahkan mereka yang memerlukan bantuan dan pembelaan.

“Kerajaan Kelantan tunjukkan kesungguhan membangunkan negeri walaupun dalam keadaan terbatas.

rumah manik urai 11“Maka, menjadi tanggungjawab Selangor membantu sementara mempelajari dari Kelantan bagaimana dapat bangunkan modal insan melalui prinsip adil, bersih dan peduli rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan 45 Delegasi Selangor.

Delegasi turut dihadiri Setiausaha Politiknya, Shuhaimi Shafiei dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, Dr Daroyah Alwi, Zaidy Talib dan Amirudin Shari

Rumah setingkat sepenuhnya daripada teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) itu dibina atas tanah seluas 6.99 ekar di Daerah Olak Jeram, Jajahan Kuala Krai dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos ini.

“Kita ingin menyiapkan projek ini lebih awal tetapi ada beberapa keperluan perlu diselesaikan sebelum pemaju dapat memulakan kerja tapak.

rumah manik urai 14“Setiap unit bernilai RM62,000 tidak termasuk prasarana seperti jalan raya dan kolam takungan banjir bagi menjamin kesejahteraan serta keselamatan penduduk di perkampungan ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Selangor komited menyatakan solidaritinya membantu Kelantan membangunkan negeri itu walaupun sumbangannya tidak seberapa.

“Selangor berasa gembira dapat bekerjasama dengan kerajaan yang mengamalkan pentadbiran bersih, adil dan sentiasa menjadikan prinsip kepedulian rakyat sebagai teras.

“Hubungan terjalin ini bukan sesuatu yang baru, tetapi ia amat utuh dan penuh komitmen untuk bersama menjamin keadilan sosial rakyat,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.