Categories
NASIONAL

Seksis: Bung perlu mohon maaf secara terbuka

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Wanita PKR tampil mengadakan himpunan aman di luar Bangunan Parlimen hari ini bagi mempertahankan ketua mereka ekoran kenyataan bersifat seksis yang dikeluarkan Bung Moktar (BN-Kinabatangan) terhadap Zuraida Kamarudin (PKR-Ampang).

Demonstrasi yang disertai hampir 50 wanita itu melahirkan kekecewaan terhadap keputusan yang membebaskan Bung daripada dikenakan tindakan tatatertib Parlimen.

Zuraida berkata, wanita adalah aset negera yang tidak patut dihina dan beliau turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan diputuskan terhadap Bung kerana itu bukan kali pertama kenyataan sedemikian dikeluarkan.

download“Beliau tidak sepatutnya memperlekeh wanita sama ada di dalam atau luar Dewan Rakyat,” katanya.

Fuziah Saleh (PKR-Kuantan) antara Ahli Parlimen yang bersama Wanita PKR menyifatkan kenyataan Bung memalukan dan menjatuhkan martabatnya sebagai Ahli Parlimen.

Sementara itu, Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) memohon Bung menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh kaum wanita.

Hadir sama, Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha yang turut mencabar Bung keluar dari Dewan Rakyat untuk meminta maaf.

Penyokong Zuraida turut membawa poster yang memaparkan gambar Bung bersama isterinya dengan perkataan ‘Kinabatangan Sakit Jiwa Dengan Isteri-isterinya’, ‘MP Durjana Kinabatangan Curang Kepada Wanita Malaysia’ dan ‘Shame On You Bung’.

Pada 15 Jun lalu, Bung terlepas daripada tindakan tatatertib walaupun menghina Zuraida dengan mengatakan mukanya seperti hantu ketika sidang Dewan Rakyat, pada 9 Jun lalu.

Zuraida di dalam Dewan mengatakan, Bung menyalahi Peraturan Mesyuarat 37(4) kerana menyentuh peribadi dan mengeluarkan kenyataan bersifat seksis dan mahu tindakan diambil ke atas pemimpin Umno itu.

Namun, Timbalan Yang DiPertua, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melepaskan Bung daripada tindakan tatatertib kerana menganggap beliau mengeluarkan kenyataan itu bertujuan menegur.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.