Categories
SENI

Membina akhlak, pemikiran & menjernih kalbu

Memarak pemikiran, menjernih kalbu

Oleh Daeng Ramliakil

Dalam Ilmu Mengarang Melayu terbitan 1957, Pendeta Za’ba mengingatkan, sastera itu indah isi dan bentuknya.

Pesanan itu, anehnya tidak begitu melekat dalam minda majoriti kaum Melayu, sebaliknya lebih kuat tersemat dalam minda kaum Cina.

Pendeta Za’baDalam perihal ingatan itu, manusia yang bertamadun memang memilih akhlak terpuji sebagai unsur puncak dalam piramid kehidupan.

Akhlak memang sasaran pembelajaran ilmu agama dan sastera di mana-mana di dunia ini sejak beratus, malah beribu tahun dahulu.  Ini diketahui oleh manusia berilmu dan jernih kalbunya.

Bagi yang mendalami ilmu sejarah, perjuangan Socrates dan Aristotle sekitar 2,500 tahun dahulu di Athens untuk memartabat seni sastera, pasti diinsafi.

Socrates memahami betapa mendalami ilmu seni sastera bermakna seseorang itu memanfaatkan otak kreatif dalam point of broca atau titik maklumat.

Selanjutnya, wujud pemikiran untuk mencari jawapan mencari diri.
Ia penting kepada Socrates kerana usaha itu membuahkan hasil lumayan pada kejernihan kalbu. Dengan itu, mudahlah memahami erti ketuhanan atau rabbaniyah.

KOMSAS atau komponen sastera Melayu dan Inggeris diwujud dalam subjek bahasa Melayu dan Inggeris. Kecelaruan tak kunjung padam kerana banyak karya tidak bermutu, tidak berseni.

Dalam konteks seni sastera sebagai titi ke arah keagamaan, SelangorKini memanfaat karya genre cerpen, puisi dan esei.

Cerpen Kereta api Bunian karya Haizir Othman edisi 1-10 April 2015 dan Unicorn Sebelah Rumah karya Syahmi Fadzil (edisi 6-13 Mac 2015) bukan calang-calang karya.

Jika wakil rakyat diberi peluang mengarang setara cerpen itu, yakinlah mereka celaru juga.

Burhanuddin al-HemmyNamun, tidak kepada Allahyarham Nik Aziz Nik Mat. Demikian juga Allahyarham Datuk Asri Haji Muda mahupun Allahyarham Haji Burhanuddin al-Hemmy. Mereka kaya ilmu bahasa, apa lagilah ilmu estetika dan stilistik mahupun etimologi atau ilmu akar kata.

Kereta api Bunian mengandungi kisah Rosdi yang menaiki kereta api sendirian yang simboliknya berlapis-lapis; boleh begini, juga boleh begitu, selagi ada logikanya. Kereta api bermaksud usia dan laluan kehidupan manusia.

Indahnya kisah itu barangkali boleh membuka pintu minda semua pembacanya, mengingatinya lama dan boleh mencipta aneka analogi untuk berfikir di luar kotak yang membijaksanakan.

Unicorn Sebelah Rumah pula mengandungi cerita tentang ‘saya’ berinteraksi dengan kuda terbang, menjurus pada objektif kehidupan, penerokaan alam angkasa.

Aliran cerpen itu abstrak, namun bijaksana. Inilah aliran pilihan Albert Camus, pengarang Peranchis yang memenangi Hadiah Nobel menerusi novel The Outsider.

Sekadar contoh, dua cerpen itu mengandungi kisah yang mudah dingat lama.

Rakyat yang berusia sekitar 50 tahun hingga 80 tahun, pasti ingat kisah dalam novel Siti Nurbaya karangan Allahyarham Dr Marah Rusli, Belenggu (Allahyarham Armijn Pane), Ateis (Allahyarham Achdiat Karta Hadimadja).

Selain itu juga karya Allahyarham Prof Sutan Takdir Alisyahbana, Allahyarham Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka), Allahyarham Sanusi Pane, Allahyarham Abdul Muis, Allahyarham Toha Mokhtar dan sebagainya.

Tidak terkecuali novel di Tanah Melayu karangan Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), A Samad Ismail dan Sasterawan Negara Dr Usman Awang.

Tidak keterlaluan dinyatakan betapa novel itu kaya semangat perjuangan Islam dan jati diri Melayu. Lebih penting, ia menyalakan api yang memarak minda generasi muda.

Minda menjadi senjata paling ampuh diiringi hati dan sanubari yang jernih.

Ada bertanya: mengapa pembaca mengalir air mata sesudah membaca Ateis umpamanya? Hatinya disentuhi duka apabila mengetahui watak Hasan, muslim yang cetek ilmu agama, diseksa Jepun tetapi tidak dapat dibela Kartini. Sebaliknya pasti diejek Bung Parta.

Kesedihan begini layak memperoleh ganjaran murni iaitu keinsafan lama dan jiwa pejuang bela diri dan bela umat Rasulullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.