Categories
SELANGOR

PAC Selangor sambut baik kajian semula Skim Bantuan Am

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 JUN: Jawatankuasa Wang Kira-kira (PAC) Selangor menyambut baik penelitian semula kadar baru Skim Bantuan AM (SBA) yang ketika ini dikaji Kerajaan Negeri.

Pemangku Pengerusi PAC, NG Suee Lim, berkata langkah proaktif yang diambil Kerajaan Negeri itu membuktikan keprihatinan dan kepedulian terhadap rakyat semakin tinggi.

“Kita sedia maklum Selangor kedua terendah dalam SBA. Kita juga tahu Exco yang terbabit iaitu Dr Daroyah Alwi memaklumkan ia sedang dalam penelitian dan kertas kerja sedang dijalankan.

ngsueelim“Bagi PAC dan rakyat, ia adalah berita baik. Ini membuktikan Kerajaan Negeri prihatin dan peduli rakyat,” katanya kepada Selangor Kini.

SBA adalah bantuan bulanan kepada warga tua, balu, anak yatim miskin, OKU, tanggungan banduan, pusat tahanan dan pesakit.

Suee Lim berkata, pihaknya juga akan sentiasa memantau bantuan daripada Kerajaan Negeri supaya dapat disalurkan terus kepada penerima tanpa ada sebarang halangan.

“Kita berharap kadar yang disyorkan ini iaitu RM300 sebulan dapat diguna pakai. Kita faham Selangor juga mempunyai kekangan kewangan, jumlah itu memadai buat masa ini,” katanya.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi sebelum ini memaklumkan kadar baru bagi SBA sedang diteliti Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaras dengan Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia.

Ketika ini, Kerajaan Negeri mengkaji kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) penduduk negeri bagi merealisasikan skim baru itu.

Semalam, Suee Lim dalam sidang medianya mahu pemberian SBA sekitar RM100 hingga RM175 sebulan ketika ini dinaikkan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.