Categories
NASIONAL

Denggi: Isytihar segera darurat, wabak menular ke organ penting

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan Persekutuan digesa mengisytiharkan darurat seterusnya meminta campur tangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ekoran wabak denggi yang kini membimbangkan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata jangkitan denggi kini menyerang organ penting antaranya hati, paru-paru dan buah pinggang tanpa tanda amaran yang biasa seperti demam, sakit badan dan gusi berdarah.

Katanya, wabak denggi luar biasa itu juga menyebabkan keupayaan menyelamatkan pesakit berkurangan.

charles parlimen 01“Ini amat menakutkan. Kementerian Kesihatan juga mengakui bahawa kegagalan organ dan sistem saraf kerap berlaku.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengisytiharkan darurat untuk wabak ini dan menanganinya dengan menggunakan sumber kepakaran tempatan juga antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyediakan pelan tindakan baru dengan segera bagi menggantikan yang sedia ada dan tidak berkesan.

Santiago berkata, amalan pengasapan kerajaan tidak berkesan memandangkan peningkatan kes sejak dua tahun lalu dan mencadangkan pelepasan pepatung di tempat pembiakan sasaran.

“Pengasapan tidak berfungsi kerana masih terdapat tempat pembiakan dan kes meningkat dari masa ke masa.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu mempertingkatkan pemeriksaan mengejut di setiap kawasan dan melakukan pengawasan berterusan.

DENGGI GRAFIK“Program kesedaran denggi juga perlu lebih komprehensif dilakukan di seluruh negara dan dana khas perlu disediakan bagi membentuk pasukan pakar perubatan,” katanya.

Sejak Januari hingga Mei lalu, 144 kematian dicatatkan berbanding 72 tahun lalu dan 38 dalam tempoh sama bagi tahun 2013.

Pada bulan Januari hingga Jun 2014, seramai 36,825 individu dijangkiti, manakala jumlah terus meningkat kepada 49,313 untuk tempoh sama, tahun ini.

Santiago membawa usul tergempar di Dewan Rakyat bagi membincangkan penyakit endemik tetapi ditolak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia, minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam juga mengakui keadaan semasa membimbangkan dan kerajaan juga sedang mencari jawapan untuk menangani masalah itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.