Categories
EKONOMI

Panorama indah di Morib & kisah sejarah di antaranya

Oleh NAEEM RAFFI
Tidak sekadar keindahan pantai, bahkan memiliki pelbagai kesan sejarah yang sebahagiannya semakin dilupakan ramai.

Menyebut nama Morib, yang tergambar ialah suasana pantai  cantik, panorama indah tatkala matahari terbenam.

Namun, ramai tidak tahu, Morib suatu ketika dahulu pernah menjadi pintu masuk terawal bagi angkatan tentera British dan India pada Perang Dunia Kedua.

Tanggal 9 September 1945 menyaksikan tentera India dari Batalion ke-46 tentera marin British mendarat bagi mempertahan persisiran pantai dari kemaraan Jepun sekaligus menandakan pengakhiran Perang Dunia Kedua di rantau ini.

Genap 69 tahun kemudian, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Shri TS Tirumurti diiringi Kolonel Praveen Chhabra, Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi India melawat Tugu Peringatan Tentera.

Tugu itu sebagai peringatan pendaratan Bahagian Infantri Tentera India ke-23 dan ke-25 di pantai Morib. Kumpulan ‘46 Indian Beach’ memudahkan pendaratan 42,651 kakitangan, 3,968 kenderaan dan 11,224 tan barang.

Selain catatan itu, sekurang-kurangnya 13 tempat bersejarah ada di Morib, antaranya Balai Polis dan Penjara Jugra, Pejabat Daerah Lama Jugra dan Istana Jugra.

Basikal-klasik-MDKL-01

Jugra terletak kira-kira 12 kilometer dari pantai Morib adalah lokasi pemerintahan Kesultanan Selangor sebelum berpindah ke Bandar Klang, dan kini di Shah Alam.

Mengadap Selat Melaka, dengan jarak 15 kilometer dari Banting dan lebih sejam dari Kuala Lumpur, Morib menjanjikan pengalaman percutian mempesonakan.

Walaupun air tidak sejernih mahupun pasir pantainya tidak segebu di sebelah timur Semenanjung, namun badai ombak sederhana cukup membuatkan pengunjung menikmati ketenangan.

Ketika surut pula, pengunjung boleh berjalan di hamparan pasir landai sejauh 400 meter ke gigi air. Yang berminat menambah koleksi cangkerang laut pula, inilah masanya. Bagi kaki pancing pula, pastikan joran dibawa sekali. Mungkin gian memburu hasil laut boleh dilunaskan.

Pengunjung juga boleh merakam gambar kenangan di replika kumpulan burung Camar Putih di tengah-tengah Dataran Morib.

Sudut ‘The Gastrapods’ juga boleh dilawati. Pelbagai kerangan lengkap butiran maklumat beserta replika menambah pengetahuan pengunjung.

PANTAI-MORIB

Festival budaya juga sering dianjurkan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor. Boleh dikatakan, Morib menjadi lokasi penganjuran program budaya, dari peringkat kampung hingga antarabangsa.

Pantai itu juga dijadikan ‘port’ perhimpunan motorsikal retro, basikal dan kereta vintage – program anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi merangsang kehadiran pengunjung.

Buktinya tercatat alam Malaysia Book Of Recods – Perhimpunan Motorsikal Retro Terbesar 2014.

Program sukan tidak ketinggalan. Penganjuran Morib International Thriathlon, Morib Fun Run, kejohanan perahu layar, bola sepak pantai dan seni senam sihat mendapat sambutan hebat.

Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) juga menaik taraf beberapa pusat pelancongannya bagi merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Selangor 2015.

Yang Dipertuanya, Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata sejumlah RM7 juta dibelanja untuk menaik taraf prasarana dan lanskap pantai itu.

“Ia meliputi kemudahan pejalan kaki, papan info pelancongan, gerai jualan serta makanan, tandas awam, pentas utama, padang bola sepak pantai dan pencahayaan lampu.

“Parkir kenderaan juga diubah jadi lebih menarik sekaligus pantai Morib sesuai untuk perkelahan keluarga,” katanya yang yakin sasaran 500,000 pengunjung tahun ini bakal tercapai.

perahu-layar-(gambar-hiasan)

Kepedulian MDKL terhadap pantai Morib tidak dinafi, apatah lagi dianugerahi Tandas Terbersih peringkat kebangsaan 2013 sempena Hari Tandas.

Pantai itu sekali lagi menempa nama apabila muncul johan Pertandingan Pantai Angkat Negeri Selangor 2014.

Selain itu, makanan laut juga tidak kurang hebatnya. Pelbagai makanan laut yang lazat dengan harga berpatutan sedia terhidang, antaranya kerang rebus, sotong bakar dan jus buah gelas besar.

Struktur berbumbung medan selera seakan-akan ‘amfiteater Rom mini’ menjanjikan pengalaman menarik ketika menjamu selera sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.

Kehadiran ‘buskers’ dengan petikan gitar kapok tambah menceriakan suasana dengan alunan lagu hits mahupun klasik.

Pengunjung juga boleh ke bazar bermusim dan deretan gerai yang menawarkan pelbagai cenderahati dan makanan tradisi sebagai ole-ole apabila pulang kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published.