Categories
SELANGOR

Pemain: Sempat solat Tarawih walaupun giat berlatih

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 JUN: Pemain pasukan Liga Super Selangor menganggap menjalani sesi latihan dan perlawanan semasa Ramadan sebagai cabaran perlu dihadapi dengan kekuatan mental dan fizikal.

Pemain pertahanan pasukan Gergasi Merah itu, Azmi Muslim berkata ini berikutan kekurangan air dan makanan sebagai bekalan tenaga  mempengaruhi kecergasan dan kemampuan pemain beraksi di padang.

“Memang cabaran kepada pemain mengekalkan kecergasan. Kami perlu berhati-hati mengambil makanan semasa berbuka puasa, tak boleh terlalu banyak tetapi kena pastikan mampu membekalkan tenaga,” kata Azmi ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Bola1Jelas beliau jadual latihan pada bulan puasa dipinda jam 10.00 hingga 12.00 malam setiap hari berbanding sebelumnya jam 5.00 hingga 7.00 petang.

“Kami sempat bersolat Tarawih lapan rakaat di tempat latihan dan selepas itu jalani sesi latihan sebelah malam. Paginya, sempat bangun untuk bersahur pula.

“Memang agak meletihkan sedikit berbanding hari biasa tetapi ini adalah cabaran yang perlu kami tempuhi,” kata pemain pertahanan yang baru pulih daripada kecederaan itu lagi.

Seorang lagi pemain pertahanan tengah Selangor, Rizal Fahmi pula berkata walaupun agak meletihkan pada beberapa hari pertama berpuasa tetapi rata-rata pemain semakin dapat menyesuaikan diri.

“Bermain bola memang banyak guna tenaga. Ini jadi cabaran di bulan puasa ini kerana Liga Super diteruskan tetapi sebagai pemain kami semakin dapat sesuaikan diri.

“Saya yakin keadaan semakin baik untuk persediaan menghadapi perlawanan seterusnya di bulan puasa ini,” kata Rizal pula.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.