Categories
SELANGOR

Hujan lebat tidak jejaskan semangat pemain

SHAH ALAM, 16 OKT: Hujan lebat dan kilat yang melanda Shah Alam sejak beberapa hari lalu agak menjejaskan latihan sesi petang pasukan Selangor bagi menghadapi Johor Darul Takzim pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia Sabtu ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon bagaimanapun berkata, keadaan ini sama sekali tidak menjejas semangat pemain untuk berhadapan juara Liga Super enam kali itu.

“Sekarang ini persiapan sedang berjalan dengan baik, hanya cuaca pada waktu petang tidak berapa mengizinkan beberapa sesi untuk dijalankan kerana kilat yang berbahaya kepada pemain.

“Padang latihan juga dalam keadaan kurang baik kerana setiap hari hujan dengan lebat tetapi pemain tetap bersemangat dalam latihan untuk lebih bersedia menentang Johor Darul Takzim,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Selangor akan menentang Johor Darul Takzim pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Larkin Sabtu nanti.

Selangor akan menerima kunjungan Johor Darul Takzim di Stadium Shah Alam bagi perlawanan Separuh akhir kedua pada 26 Oktober nanti.

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAS harap akses program pembangunan bola sepak lebih luas

SHAH ALAM, 16 OKT: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berharap pengumuman peruntukan berjumlah RM45 juta untuk pembangunan bola sepak yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 baru-baru ini memberi akses lebih besar kepada anak muda untuk menyertai program disediakan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, bantuan secukupnya juga wajar diberikan terutama sekali membabitkan anak muda dalam kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Saya rasa ini satu perkembangan yang baik untuk industri bola sepak tanah air kerana kerajaan menitik beratkan kepada pembangunan bola sepak akar umbi.

“Diharapkan dengan pertambahan dana ini, lebih ramai anak muda dari kumpulan B40 seluruh pelosok negara mendapat akses kepada program pembangunan bola sepak kebangsaan dan bantuan secukupnya untuk mereka berjaya di dalam bola sepak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Johan Kamal berkata, peruntukan yang disediakan kerajaan merupakan satu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Beliau juga berharap peruntukan itu digunakan sebaik mungkin dengan mengelakkan pembaziran bagi mendapatkan impak yang maksimum.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan memperuntukan sejumlah RM45 juta untuk membiayai program pembangunan bola sepak negara.

Categories
SELANGOR

Selangor temui sentuhan semula tewaskan Sime Darby 3 – 1

SHAH ALAM 9 OGOS: Pasukan Selangor kembali menemui sentuhan kemenangan apabila berjaya menewaskan pasukan tercorot, Sime Darby FC 3-1 pada perlawanan ke-18 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Super.

Kemenangan kelapan liga itu yang diraih selepas Selangor sekadar mencatat dua kekalahan dan dua keputusan seri pada empat perlawanan terdahulu, dibantu kekalahan penghuni posisi ketiga liga sebelum ini, Perak kepada Felda United FC 2-0 di Ipoh.

Selangor kini di tangga ketiga dengan 29 mata, sama mata dengan pasukan di tangga keempat hingga keenam, Felda United FC, Terengganu dan Lions XII, diikuti PDRM di tangga ketujuh dengan 28 mata dan Perak yang turun ke tangga kelapan dengan 27 mata, lapor laman sesawang FAS Selangor.

Kedudukan LigaDi Selayang malam tadi, Selangor kembali mendapatkan khidmat pemain tengah import dari Brazil, Leandro dos Santos yang selesai penggantungan dua perlawanan selepas mengumpul enam kad kuning.

Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-19 selepas pemain pertahanan, Rizal Fahmi Rosid berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma diambil Andik Vermansah dari sebelah kiri.

Kedudukan semakin selesa buat Selangor apabila dihadiahkan pula sepakan penalti pada minit ke-26 yang mudah disempurnakan penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula untuk pelawat mendahului 2-0.

Namun kelekaan Selangor ketika bertahan membolehkan Sime Darby merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-31 apabila penyerang importnya, Reinaldo Da Costa menanduk deras bola sepakan sudut Fahrul Razi Kamaruddin untuk menewaskan penjaga gol, Norazlan Razali.

Bersambung separuh masa kedua, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria membawa masuk seorang lagi penyerang importnya, Nemanja Vidakovic dalam usaha mencari gol penyamaan.

Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic pula membawa tenaga baharu di barisan depan apabila memasukkan Abdul Hadi Yahaya untuk menggantikan Afiq Azmi pada minit ke-63.

Hasilnya gol ketiga Selangor berjaya diperoleh pada minit ke-80 apabila Abdul Hadi mudah menyudahkan bola hantaran De Paula dari sebelah kiri untuk menewaskan penjaga gol Sime Darby, Kamarul Effandi Abdul Rahim.

Selangor selepas ini akan bertemu ATM di Stadium Shah Alam, Rabu ini disusuli aksi di tempat lawan berdepan Lions XII di Stadium Jalan Besar pada Sabtu (15 Ogos).

EZY

Categories
SELANGOR

Pemain: Sempat solat Tarawih walaupun giat berlatih

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 JUN: Pemain pasukan Liga Super Selangor menganggap menjalani sesi latihan dan perlawanan semasa Ramadan sebagai cabaran perlu dihadapi dengan kekuatan mental dan fizikal.

Pemain pertahanan pasukan Gergasi Merah itu, Azmi Muslim berkata ini berikutan kekurangan air dan makanan sebagai bekalan tenaga  mempengaruhi kecergasan dan kemampuan pemain beraksi di padang.

“Memang cabaran kepada pemain mengekalkan kecergasan. Kami perlu berhati-hati mengambil makanan semasa berbuka puasa, tak boleh terlalu banyak tetapi kena pastikan mampu membekalkan tenaga,” kata Azmi ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Bola1Jelas beliau jadual latihan pada bulan puasa dipinda jam 10.00 hingga 12.00 malam setiap hari berbanding sebelumnya jam 5.00 hingga 7.00 petang.

“Kami sempat bersolat Tarawih lapan rakaat di tempat latihan dan selepas itu jalani sesi latihan sebelah malam. Paginya, sempat bangun untuk bersahur pula.

“Memang agak meletihkan sedikit berbanding hari biasa tetapi ini adalah cabaran yang perlu kami tempuhi,” kata pemain pertahanan yang baru pulih daripada kecederaan itu lagi.

Seorang lagi pemain pertahanan tengah Selangor, Rizal Fahmi pula berkata walaupun agak meletihkan pada beberapa hari pertama berpuasa tetapi rata-rata pemain semakin dapat menyesuaikan diri.

“Bermain bola memang banyak guna tenaga. Ini jadi cabaran di bulan puasa ini kerana Liga Super diteruskan tetapi sebagai pemain kami semakin dapat sesuaikan diri.

“Saya yakin keadaan semakin baik untuk persediaan menghadapi perlawanan seterusnya di bulan puasa ini,” kata Rizal pula.

EZY