Categories
SELANGOR

Peraturan baru masjid tingkat kemantapan pengurusan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 15 JUN : Peraturan baru berhubung pengurusan dan pentadbiran masjid Selangor berkuatkuasa mulai Januari 2016, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Beliau berkata ia bagi menggantikan Kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah Selangor 1995 yang dipinda sebanyak dua kali pada 1999 dan 2001.

“Kewujudan peraturan ini tepat pada masa dan ketikanya bagi mendepani era lebih mencabar dengan pelbagai isu dihadapi institusi masjid,” katanya.

Sultan Rasmi Masjid di Pekan Jeram (8)Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Multaqa Pegawai dan Jawatankuasa Masjid serta Penyerahan Sumbangan Bantuan Moreh Masjid dan Surau Selangor di Masjid Negeri, baru-baru ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, Exco Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohd Adzib Mohd Isa.

Katanya beberapa struktur dan format baru diwujudkan dalam peraturan itu bagi memantapkan pentadbiran masjid, antaranya menambah baik pencalonan serta fungsi pegawai dan jawatankuasa masjid.

Selain itu, katanya beberapa jawatan baru diwujudkan untuk bersama-sama mentadbir dan mengimarahkan masjid serta menjadikan pengurusannya lebih baik dan teratur.

“Jawatankuasa Tadbir Masjid turut diwujudkan bagi memantau, menasihati dan menyelia jawatankuasa pengurusan serta pentadbiran masjid dengan fungsi dan tanggungjawab tertentu.

“JAIS melaksanakan beberapa program bagi memberi kefahaman kepada seluruh masyarakat berkenaan format dan struktur pengurusan masjid yang dilaksanakan di bawah peraturan baru ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.