Categories
KENYATAAN MEDIA

PKR: Semak kerjasama Pakatan, kukuh gabungan

Oleh: Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail

KEADILAN mengakui bahawa wujudnya masalah di dalam Pakatan Rakyat yang memerlukan perhatian segera para pimpinan untuk menangani masalah ini dengan penuh bijaksana.

KEADILAN merasakan wujudnya keperluan mendesak untuk menyemak bentuk kerjasama dengan tujuan memperkukuh gabungan parti-parti politik yang progresif dan berpegang kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, sehaluan dengan aspirasi rakyat yang terus menuntut perubahan.

PAKATAN RAKYATMaka KEADILAN dengan ini mencadangkan agar perbincangan perlu diteruskan dengan parti-parti politik dan juga badan-badan bukan kerajaan dalam kerangka besar masyarakat madani lainnya demi merangka hala tuju dan masa depan untuk membina Malaysia yang gagah.

Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat dalam perjuangan menuntut perubahan.

Isu-isu bersama yang menuntut reformasi ekonomi dan pendidikan, pembanterasan gejala rasuah dan salahguna kuasa serta menentang kezaliman UMNO-Barisan Nasional harus diperjuangkan terus.

Model pentadbiran Negeri Selangor yang dipimpin oleh YAB Azmin Ali yang berpegang kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat telah menghasilkan kejayaan dalam beberapa dasar termasuk dasar perumahan, bantuan mikrokredit dan pendidikan mampan yang kini menjadi pemangkin dalam kita menuntut perubahan lanjut di peringkat pusat.

Justeru itu, saya menyeru kepada semua pimpinan tertinggi parti agar berusaha menggilap dan memperkukuhkan muafakat dan persefahaman bersama yang dipupuk sejak 15 tahun yang lalu.
Solidariti tahaluf siyasi sebegini telah menangkap imaginasi rakyat dan memberikan harapan baru kepada Malaysia.

Semoga usaha ini diberkati Yang Maha Esa, demi menzahirkan Malaysia yang lebih adil dan lebih baik untuk semua.

* Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah Presiden PKR

Leave a Reply

Your email address will not be published.