Categories
PENDIDIKAN

Perpaduan Nasional: Mitos atau realiti

Oleh Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir

Apabila Malaya dibentuk pada 1957, isu perpaduan menjadi agenda besar negara ketika itu. Pada kala itu, bangsa yang dituntut bersatu-padu untuk membangunkan Malaya hanya Melayu, Cina dan India.

Bangsa lain, Asli, Sikh, Arab, India Muslim, Cina Muslim, Baba-Nyonya dan Serani tidak dibebankan.

Ini kerana sejak Semenanjung Tanah Melayu dijajah Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris semula, mereka membawa masuk banyak penghijrah untuk mengisi kekosongan pekerjaan yang dikatakan orang Melayu tidak mampu melakukannya – melombong bijih timah, menoreh getah dan berniaga.

Entah siapa membuat keputusan itu, tiada siapa tahu. Melayu telah lama tahu melombong berbagai-bagai galian dan tidaklah susah untuk belajar menoreh getah.

4-antique_map_valentijn_malacca

Melayu terkenal sebagai peniaga dan pedagang terbaik. Jika tidak, Melaka takkan digelar Venice Timur. Penghijrah India dibawa sebagai penoreh getah di ladang yang diusahakan Inggeris.

Penghijrah China dibawa sebagai pelombong bijih timah di lombong yang dikembang penggaliannya oleh Inggeris. Juga sebagai peniaga di bandar besar.

Melayu dikekalkan sebagai petani di kampung. Kesannya, bandar seperti Kuala Lumpur, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang, berkembang sebagai pusat ekonomi Semenanjung Tanah Melayu.

Namun, keterlibatan Melayu dan India minimum. Hanya Cina dan Inggeris yang menikmati kenaikan ekonomi tinggi kerana mereka mengusahakan komoditi yang tinggi harganya.

Melayu dibiar melaksanakan kerja harian sebagai petani, penternak, nelayan dan peniaga kecil-kecilan di pasar minggu. Penjajah Inggeris berasa ia keadaan stabil untuk terus memerintah tanpa gangguan. Sekaligus mencapai matlamat penjajahan iaitu menyedut sumber asas ekonomi.

Perlu difahami, tanah jajahan bukan tempat berfungsinya Revolusi Industri Eropah tetapi sebagai penyediaan sumber mentah untuk menjayakannya.

Apabila Semenanjung Tanah Melayu (Malaya) merdeka, tugas paling kritikal pemerintah ialah mengusahakan perpaduan antara tiga kaum – yang sebelumnya dipisah dan jarang bersemuka.

Budaya, agama, adat resam, bahasa, sejarah dan segala hal antara mereka saling berbeza. Ini tugas getir. Kajian perlu untuk menjengah apakah program perpaduan yang diusahakan Jabatan Perpaduan Malaya sejak 1957-1963?

Sewaktu Malaysia dibentuk pada 1963, isu perpaduan yang belum selesai menjadi makin rumit apabila lebih banyak rumpun Melayu Sarawak dan Sabah – kemudian dipanggil Bumiputera – diterima sebagai rakyat.

Keluarnya Singapura dari Malaya tidak memudahkan penyelesaian isu perpaduan. Dan, enggannya Brunei menyertai Malaysia bukan disebabkan isu perpaduan.

Perbincangan tidak mempertimbang pendatang asing, pemastautin dan kelas penduduk yang bukan rakyat Malaysia.

Persoalan paling pokok ialah bagaimanakah menganalisis apakah Malaya/Malaysia memiliki teras untuk membentuk perpaduan?

Atlas-Majapahit

Kita bergantung kepada fakta sejarah rumpun Melayu yang secara linguistik dikelas sebagai Austronesia dan hubungan dalaman antara suku yang membentuk rumpun itu.

Kemudian, hubungan luaran suku rumpun Melayu dengan bangsa lainnya, sekitarnya atau yang jauh/penjajahnya, seperti China, India, Viet, Jepun, Inggeris dan Perancis.

Fakta digali secara umum daripada teks bertulis seperti batu bersurat (prasasti) dan manuskrip Melayu (palawa dan jawi) berusia sekitar 200-1800M, manuskrip China 300-800M, manuskrip Arab-Parsi-Turki 600-1500M, prasasti dan manuskrip India 400-1200M dan manuskrip Eropah 1300-1900M.

Apakah fakta yang mahu dibincang? Tentunya fakta yang mampu menjelaskan maksud perpaduan dalam Rumpun Bangsa Melayu dan perpaduan luar Rumpun Bangsa Melayu.

Perpaduan Dalaman bermaksud perpaduan yang dibangunkan antara suku-suku yang membentuk rumpun Melayu seperti antara Aceh-Minangkabau, Jawa-Riau, Campa-Bugis, Sulu-Patani, Kadazan-Iban.

Perpaduan Luaran merujuk kepada perpaduan yang dibangunkan antara suku-suku rumpun Melayu dengan bangsa lain seperti Campa-Viet, Taiwan-Cina, Kyushu-Jepun, Patani-Thai, Madagaskar-Afrika, Minangkabau-Belanda, Jawa-Belanda, Magindanao-Sepanyol, Melayu-Cina, Melayu-India.

Malaya/Malaysia memerlukan kedua-dua bentuk perpaduan dalam program melibatkan rakyat, bukan dilaksanakan tanpa strategi tertentu.

Bagaimanakah untuk mengetahui perpaduan dicapai?

Ini susah. Sebab faktor embawa kepada perpaduan banyak,
Umpamanya ikatan darah raja/ sultan/ pemerintah, kerjasama ekonomi, kerjasama pertahanan, perkongsian wilayah dan ufti, kesamaan agama, kesamaan bahasa, kesamaan budaya, kesamaan sejarah, pendidikan dan pelancungan.

Ini terlalu rencam untuk ditunjukkan bagaimanakah perpaduan beroperasi.

Contoh, bagaimanakah Kerajaan Jawa Lama boleh bekerjasama dengan Kerajaan Sriwijaya dalam menepis serangan Mongol? Yang dicerita sebagai strategi memasang jamung di sepanjang pantai untuk menunjukkan banyaknya tentera Jawa.

Contoh lain, bagaimanakah Kerajaan Melaka boleh bekerjasama dengan 80 pedagang/ kerajaan dunia yang berdagang di Melaka?
Apakah Melaka memiliki 80 balai tetamu, 80 penterjemah, sistem pertukaran 80 mata wang?

Inilah kerencaman tadi. Namun, beberapa hal tertentu mesti diusahakan walaupun sukar.

Contohnya beberapa bentuk perpaduan/ kerjasama luaran antara Melayu, Cina dan India. Apakah faktor yang membuatkan pedagang Cina dan India boleh bekerjasama dengan pedagang rumpun Melayu?

Perpaduan dan Peperangan

Mengelakkan kerencaman itu, kita melihat sebaliknya iaitu apakah petandanya apabila perpaduan tidak dicapai?

Kalau berlaku peperangan atau rusuhan antara A dan B, maka tiada perpaduan antara A dan B, contohnya Peperangan Campa-Viet 900M-1862M, Serangan Raja Cola ke Palembang pada kurun ke0-11M, Peperangan Melaka-Portugis 1511, Peperangan Paderi Ulama-Adat Minangkabau awal kurun ke-19M, Peperangan Minangkabau-Belanda 1830-an, Rusuhan Kaum Melayu-Cina 1969, Penerobosan Tentera Sulu Terhadap Sabah 2014.

Sebenarnya semua peristiwa peperangan itu patut menjadi kajian kepada penyelidik tamadun Melayu tetapi hingga kini mereka segan melakukannya.

Namun, perbincangan mengenai terlalu banyak dan memakan masa penyelidikan yang panjang.

Jika dikaji beberapa sahaja daripada peristiwa peperangan, pasti timbul bahawa perpaduan belum tentu dicapai walaupun dalam kalangan manusia sesuku. Contohnya, Peperangan Golongan Ulama dengan Golongan Adat Minangkabau pada kurun ke-18M.

Juga perpaduan sukar dicapai antara dua suku walaupun serumpun, seumpama Peperangan Jawa-Melayu (merujuk Kerajaan Melayu Palembang) pada kurun ke-7M.

Sememangnya perpaduan sukar dicapai antara dua bangsa berlainan. Contohnya, Peperangan Seribu Tahun Campa-Viet. Walaupun maklumat itu menafikan perpaduan tetapi kajian terhadap peperangan berkenaan boleh merungkai maklumat yang menunjukkan mengapakah peperangan itu berlaku?

Kenapakah perpaduan/perdamaian antara suku atau dua suku/ bangsa yang sebelumnya wujud tidak boleh dikekal? Berlebih-lebihlah kepentingan kajiannya jika bangsa yang terlibat berperang adalah Melayu, China dan India.

Contohnya, kisah Raja Chola menyerang Kerajaan Melayu Palembang (dalam Silalatus Salatin), kependudukan bangsa China di Tanah Melayu Taiwan dan sebagainya.

Model perpaduan politik Majapahit

Sebenarnya, jika diteliti dengan jitu maklumat yang terpahat pada batu bersurat di alam Melayu, jelas terdapat bagaimanakah perpaduan beberapa Rumpun Bangsa Melayu sewaktu Kerajaan Funan, Kerajaan Sriwijaya dan lain-lain.

Namun, tiada masa menyemaknya. Ini yang diberikan iaitu model perpaduan Majapahit seperti yang dilapor Prapanca, cendekiawan Buddha yang bertugas di Majapahit. Beliau menulis Nagaraktagama pada 1365M dan menyenaraikan sejumlah 103 Kerajaan Rumpun Bangsa Melayu yang bernaung di bawah Kerajaan Majapahit.

Antaranya, Pulau Sumatera: Malayu, Jambi, Palembang, Karitang, Teba, Dharmasraya, Kandis, Kahwas, Manangkabwa, Siyak, Rekan, Kampar, Pane, Kampe, Haru, Mandahiling, Tumohang, Parlak, Barat, Lwas, Samudra, Lamuri, Batan, Lampung & Barus.

Pulau Borneo: Tanjung Nagara/Tanjung Puri, Kapuhas, Katingan, Sampit, Kuta Lingga, Kuta Waringin, Sambas, Lawai, Kadangdangan, Landa, Samedang, Tirem, Sedu, Buruneng, Kalka, Saludung, Solot, Pasir, Baritu, Sawaku, Tabalung, Tanjung Kute, Malano & Tanjung Pura.

Semenanjung Tanah Melayu: Pahang, Hujung Medini, Lengkasuka, Saimwang, Kalantan, Tringgano, Nashor, Pakamuwar, Dungun, Tumasik, Sanghyang Hujung, Kelang, Keda, Jere, Kanjap & Niran.

Pulau Jawa (Timur): Bali, Badahulu, Lwa-Gajah, Gurun, Sukun, Taliwang, Dompo, Sapi, Sanghyang Api, Bhima, Sheran, Hutan Kedali, Gurun, Lombok Mirah, Saksak, Bantayan, Luwuk, Uda, Makasar, Butun, Banggawi, Kunir, Galiyao, Salaya, Sumba, Solot, Mukar, Wandan, Ambwan, Maloko, Wwanin, Seran & Timur.

Indo-Cina: Dharmanagari, Rajapura & Campa.

Model perpaduan politik Melaka

Model seterusnya ialah perpaduan dalaman Melaka seperti yang dinyatakan Tom Pires yang menulis pada 1512-1515M bertajuk Suma Oriental untuk Kerajaan Portugis di Melaka.

Small SB 8 003

Mengikut pengiraan, Tom Pires menyenaraikan 76 Kerajaan Rumpun Bangsa Melayu yang berdagang dengan Melaka iaitu:

i) Pulau Sumatera: Lambrij, Achem, Biar, Pedir, Lide, Pirada, Pacem, Bara, Daru, Arcat, Ircan, Rupat, Purij, Ciaca, Campar, Capocam, Andraguerij, Jambij, Palimbam, Tana Malayo, Sacampam, Tulumbauam, Andaloz, Piriaman, Tico, Barros, Quinchel, Mancopa, Menancabo,
ii) Borneo
iii) Malaka
iv) Pulau Jawa: Cumda, Cherimon, Japura, Losari, Tegal, Samarang, Demak, Tidunan, Japara, Rembang, Tuban, Sidayu, Grisee, Surabaya, Gamda, Blambangan, Pajarakan, Camta, Panarukan, Chamdy & Madura.

Pepulau Tenggara: Bali, Lombok, Sumbawa, Byma, Sangeang, Solor, Alor, Kambing, Citor, Batojmbey, Banda, Ceram & Amboina
Pulau Maluku : Ternate, Tidore, Motir, Makyan, Bachian & Gillolo.

Pulau Tengah: Tanjompura, Laue, Quedondoam, Samper, Biliton, Cate, Pamuca, Adema, Macassar, & Madura,

v) Campa & Filipina

Model perpaduan rumpun bahasa Melayu

Jika kita tidak menyekat geografi Rumpun Bangsa Melayu hanya kepada Malaya/Malaysia, maka geografi sebenarnya memenuhi satu perlima keluasan dunia. Seutaranya Pulau Kyushu, seselatannya New Zealand, sebaratnya Madagaskar dan setimurnya Pulau Hawaii.

Keluasan itu memuatkan sejumlah 1200 rumpun Melayu yang bertutur sejumlah 1,200 dialek bahasa Melayu-Polinesia atau linguistiknya, Austronesia. Mungkin sekitar 13-15 dialek ada di Semenanjung Tanah Melayu dan sekitar 20 dialek di Sarawak, Sabah dan Labuan.

Dialek itu sebenarnya tidak pernah menjadi mata pelajaran di sekolah dan universiti, kecuali mungkin tatkala kursus khas memperkenal suku kaum dan dialeknya beberapa kali.
Sepatutnya, semua dialek berkenaan mesti menjadi kursus bahasa atau dialek pilihan untuk dipelajari mahasiswa sekurang-kurangnya, kalau belum mahu membuat rombakan pelajaran bahasa Melayu di sekolah.

Hal ini akan menyuburkan perpaduan dalaman kalangan rumpun Melayu.

Model perpaduan pendidikan

Agak lama mengkaji perhubungan keilmuan antara Tamadun Rumpun Melayu dengan Tamadun India dan Tamadun Cina menerusi penyelongkaran teks kuno.

Kajian menunjukkan ada perhubungan keilmuan dan pendidikan antara tiga tamadun besar itu. Sehingga kini, buktinya masih ada di Tibet, Cina dan Jepun.
Teks itu berbentuk buku keilmuan Hindu-Buddha yang dipelajari sarjana India, Melayu dan Cina. Buku itu boleh didapati dalam bentuk terjemahan di Tibet, Jepun dan China.

Ini menunjukkan ketiga-tiga bangsa itu pernah bersatu padu menerusi keilmuan dan pendidikan sekitar 400-1200M. Malah, bukti menunjukkan ketiga-tiga bangsa itu pernah menuntut di Universiti Nalanda, India, sekitar kurun ke-8M.

Tatkala itu, ribuan pelajar Melayu Sriwijaya/ Suvarnabhumi menuntut di Nalanda hinggakan pihak pengurusan membina asrama Suvarnabhumi. I-Tsing juga menuntut di sini pada awal kurun ke-8M. Persoalannya, bolehkah mengulangi kaedah perpaduan sebegini menerusi pendidikan?

Model perpaduan perdagangan Melaka

Tom Pires 1512-1515 juga melaporkan banyak pedagang melakukan aktiviti di Melaka. Semuanya berasa Kerajaan Melaka mesra pedagang. Maklumat tempat asal pedagang seperti berikut:

Cairo, Mecca, Aden, Abyssinian, Kilwa, Malindi, Ormuz, Parsee, Rume, Turk, Turkoman, Christian, Armenian, Gujaratee, Chaul, Dabhol, Goa, Deccan, Malabar, Kling, Orissa, Ceylon, Bengal, Arakan, Pegu, Siam, Cambodia, Cochin/Viet, China, Lequeo, Lucoe, Laue, Maldive.

Model perpaduan kajian kebudayaan

Kalau serius mahu membuat rombakan sistem pendidikan sekolah dan universiti, kita patut memperkenal kajian kebudayaan terhadap Tamadun Melayu, Tamadun Cina dan Tamadun India.

Bukan hanya pembelajaran bahasa seperti yang dilaksanakan sekarang. Hanyalah menerusi kajian kebudayaan berusia ribuan tahun sahaja, ketiga-tiga tamadun itu akan saling kenal mengenal.

Malah, kajian yang akan memungkinkan kita memajukan pelbagai unsur kebudayaan untuk bersaing dalam pelbagai tema globalisasi sekarang, seumpama pendidikan, perniagaan, teknologi, ilmu dan sebagainya.

Bukankah Melayu yang membangun kapal besar sebelum tahun 1000M? Bukankah Cina yang membangun bahan letupan dan kertas?
Bukankah India yang membangun sistem persepuluhan dan angka sunya/ kosong/ sifar=0?

Semua ini tidak terdengar di Malaysia terutama di universiti, adanya perbincangan berkaitan perpaduan yang menjurus kepada persoalan tadi.

Ataupun kesungguhan melakukan sebahagian daripadanya, ketelitian program perpaduan di Malaysia hanyalah program yang tiada isi. Kini, rumpun Melayu di Sarawak dan Sabahpun berasa mereka bukan rumpun Melayu walaupun bahasa pertuturan seharian mereka adalah Austronesia=Melayu-Polinesia.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.