Categories
SELANGOR

PPAS Tanjong Karang bakal jadi perpustakaan penuh

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JUN: Bangunan Wisma Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Tanjong Karang dalam proses baik pulih untuk dijadikan perpustakaan penuh.

Pengarah PPAS, Mastura Mohamad, berkata langkah terbabit baharu bermula dengan beberapa pengubahsuaian bahagian bangunan pada tingkat bawah.

Jom Baca 10 minit di PPAS (1)“Kita menjalankan kerja baik pulih secara berperingkat dan proses ini hanya mampu dijalankan selepas penyewa bersetuju untuk berpindah, baru-baru ini.

“Bagaimanapun, ia memakan masa kerana banyak kerja perlu dijalankan disebabkan bangunan ini agak lama dan terdapat kerosakan,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Mastura berkata, PPAS akan menutup operasi bangunan untuk tempoh dua minggu yang dijangka akhir Jun ini.

Katanya, selepas ini perpustakaan akan berpindah ke tingkat bawah dan bangunan itu akan beroperasi sepenuhnya selepas semua kerja selesai.

Jom Baca 10 minit di PPAS (3)“Wisma PPAS Tanjong Karang antara bangunan melebihi 25 tahun yang disewakan kepada pihak swasta bagi tingkat bawah dan dua.

“Kita akan memohon peruntukan tambahan kepada Kerajaan Negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk tujuan ini,” katanya.

Beliau berharap masyarakat khususnya di Tanjong Karang memahami dan berpuas hati dengan usaha PPAS bagi menyediakan kemudahan perpustakaan sebaiknya.

“Usaha penjenamaan semula perpustakaan di Selangor bermula sejak beberapa tahun lalu dan membabitkan lebih 20 perpustakaan.

“Sebahagiannya melalui proses pembinaan semula dan ada juga dinaik taraf,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.