Categories
SELANGOR

Selangor menang lagi, 3 teratas himpit Pahang & JDT

SHAH ALAM 28 JUN: Pasukan Bola Sepak Selangor terus menghimpit dua pasukan teratas Liga Super, Pahang dan Johor Darul Ta’ zim (JDT) selepas berjaya mencatat kemenangan kedua berturut dengan menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Keputusan seri 1-1 antara Pahang dan JDT di Kuantan membolehkan Selangor kini hanya tiga mata di belakang pendahulu, Pahang (27 mata) dan kurang satu mata berbanding pasukan tangga kedua, JDT (25 mata).

FAS JUARASelepas 13 perlawanan, Selangor kekal di tangga ketiga, berkongsi 24 mata dengan pasukan tangga keempat, Perak yang menewaskan pasukan tercorot, Sime Darby FC 3-1 di Selayang.

Gol pertama Selangor hadir seawal minit keempat apabila tandukan tipis Afiq Azmi disudahkan Abdul Hadi Yahya yang memperdaya pertahanan Terengganu, Ahmad Azlan Zainal sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, lapor laman sesawang FAS Selangor.

Terengganu cuba bangkit, namun rembatan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-15 sekadar menggegar jaring tepi gawang Selangor yang dikawal Hamsani Ahmad.

Sebaliknya Selangor terus selesa apabila memperoleh gol kedua pada minit ke-23 selepas sepakan sudut Andik Vermansah yang ditanduk Afiq sekadar ditepis Sharbinee lalu menggegar palang sebelum Robert Cornthwaite tenang menolak masuk bola di depan pintu gol Terengganu.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor terus dihidang beberapa peluang terbaik tetapi gagal disempurnakan barisan depannya terutama Afiq untuk menambah jaringan tatkala Terengganu tanpa penyerang import, Paulo Rangel yang digantung tiga bulan tampak terus buntu.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan pendahulu liga, Pahang di Stadium Shah Alam pada 4 Julai ini (Sabtu).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.