Categories
NASIONAL

5 minit di Aidilfitri paling bermakna bagi Kak Wan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 25 JUL: Hanya lima minit masa yang diperuntukkan untuk seorang lelaki bergelar suami, bapa dan datuk bertemu dengan isteri, anak serta cucunya.

Masa yang diperuntukkan itu walaupun singkat tetapi cukup bermakna bagi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekeluarga.

Wan AzizahIsterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kesempatan yang singkat itu digunakan oleh mereka anak beranak untuk bersalaman dan bermaafaan sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Ketika itulah kami anak beranak berpeluang bertemu tanpa cermin penghadang dan bersalaman dalam masa lima minit yang dibenarkan itu.

“Kepada anda semua, hargailah seseorang yang kita sayangi selagi mereka ada,” kata Dr Wan Azizah ketika dalam program Jamuan Raya Jelajah Amanat Presiden di Dewan Haji Omar Bukit Belimbing, Tanjung Karang malam tadi.

Jelas Dr Wan Azizah, sehari sebelum itu pada hari raya kelima, beliau turut berkesempatan bertemu Anwar di Penjara Sungai Buloh tetapi hanya dibenarkan bercakap di sebalik penghadang cermin.

Katanya lagi, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali lebih bernasib baik apabila berpeluang bertemu Anwar selama hampir dua jam setengah.

Anwar yang juga kini menjadi tahanan politik di Penjara Sungai Buloh sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes fitnah liwat 2 sebelum ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.