Categories
NASIONAL

AMK: Kementerian Kesihatan perlu tambah baik sistem kerja doktor

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUL: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Kementerian Kesihatan menambahbaik sistem dan suasana kerja bagi doktor perubatan di negara ini khususnya sektor awam.

Timbalan Ketuanya, Dr Afif Baharuddin, mencadangkan kementerian menyediakan penempatan mengikut keperluan semasa dan sentiasa responsif terhadap sebarang perubahan.

“Tanggungjawab itu terletak pada ketua jabatan untuk memastikan bukan hanya jumlah kuantiti yang ditangani tetapi kecergasan dan tahap emosi doktor yang bertugas turut dipantau,” katanya dalam kenyataan.

Afif Bahardin 01Beliau berkata demikian bagi merujuk berita kematian jalan raya seorang doktor perubatan di Hospital Sungai Buloh, Allahyarhamah Dr Afifah Mohd Ghazi, semalam.

Kemalangan terbabit berpunca daripada keadaan beliau yang terlalu penat dan hilang kawalan ke atas kenderaan.

Dr Afif turut mencadangkan pihak berwajib mewujudkan Peraturan Had Waktu Bekerja.

Katanya, peraturan itu sudah diperkenalkan dalam sebahagian daripada Undang-Undang Buruh di beberapa negara maju dan disesuaikan kepada sektor kesihatan.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan wajar mengkaji keperluan memperkenalkan had waktu bekerja untuk doktor iaitu purata 48 jam seminggu dalam tempoh 26 minggu dengan syarat tidak melebihi 72 jam dalam masa satu minggu.

doktor“Mereka juga perlu rehat wajib untuk setiap syif dan perkenalkan waktu itu sekurang-kurangnya 20 minit,” katanya.

Selain itu, doktor juga perlu diberikan perlepasan selepas tamat tugasan atas panggilan (on-call).

“Kebanyakan doktor yang bertugas di atas panggilan wajar diberikan pelepasan terutama selepas tamat tugas. Ini bagi memberi ruang yang secukupnya untuk doktor itu berehat,” katanya.

Beliau berkata, hospital juga wajar menyediakan tempat, ruang atau bilik rehat yang selesa untuk doktor yang bertugas atas panggilan.

“Kemudahan ini amat perlu bagi memberi peluang kepada doktor untuk berehat,” katanya.

Afif berharap saranan itu dipertimbangkan kementerian seterusnya dapat membantu membela kebajikan doktor.

“Saya juga yakin kualiti perkhidmatan mereka juga akan meningkat apabila perubahan seperti yang dicadangkan ini diperkenalkan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.