Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih 100 doktor maut di Indonesia

JAKARTA, 11 SEPT: Indonesia mencatatkan 3,737 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan di republik itu kini 210,940 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 88 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini 8,544 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 51,635 kes, dengan tambahan 964 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam lepas.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan pada Rabu lepas mengumumkan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) akan dikuatkuasakan kembali bermula 14 Sept ini, dengan membatalkan aktiviti sosio ekonomi yang dibenarkan beroperasi pada fasa transisi PSBB.

Jakarta menguatkuasakan PSBB bermula 31 Mac lepas, sebelum membenarkan beberapa aktiviti sosio ekonomi kembali beroperasi menerusi fasa transisi PSBB pada 5 Jun 2020.

Menurut data yang dikeluarkan pemerintah Jakarta, sebanyak 67 hospital di Jakarta kini ditahap lebih 70 peratus penggunaan peralatan, katil serta kemudahan perubatan, dan akan mencapai tahap maksima kapasitinya pada 17 Sept ini, sekiranya trend kes positif baharu di Jakarta yang secara puratanya hampir 1,000 kes setiap hari sejak akhir Ogos lepas, berterusan berlaku.

Sementara itu provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah keseluruhan kematian tertinggi di Indonesia iaitu 2,717 orang, dengan 26 lagi kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Sementara itu Ikatan Dokter Indonesia (IDI) dalam satu kenyataan menyatakan, seramai 109 doktor di Indonesia terkorban akibat Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian doktor tertinggi akibat pandemik itu iaitu seramai 29 orang, diikuti Sumatera Utara (20 orang), Jakarta (13) dan selebihnya di beberapa wilayah lain di Indonesia.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Rundingan gagal, lebih 3,000 doktor muda mogok

WELLINGTON: Hampir 80 peratus doktor muda yang bertugas di hospital awam New Zealand meninggalkan tugas masing-masing hari ini.

Ia susulan kegagalan rundingan antara kesatuan dengan kerajaan berhubung persekitaran kerja dan gaji.

Mogok itu ternyata menjadi tamparan kepada kerajaan Perdana Menteri, Jacinda Ardern terutama dalam usaha melaksanakan janji untuk menyalurkan dana untuk perkhidmatan sosial dan mengekang kepincangan ekonomi ketika mengambil alih jawatan itu pada 2017.

Pertumbuhan gaji yang lembap dan kos sara hidup melampau dipercayai penyebab pekerja terpaksa bergelut.

Tahun lalu, guru sekolah, jururawat dan pegawai mahkamah bertindak tahun lalu demi untuk menuntut kenaikan gaji.

“Mereka mahu mengawal waktu kerja kami, bagaimana kami bekerja dan dimana kami bekerja,” kata Setiausaha Kesatuan Kebangsaan, Dr Deborah Powell.

“Kami cuba untuk menyelesaikan masalah ini tanpa mengadakan mogok tetapi kami tidak diberi pilihan,” katanya.

Pada awal minggu lalu, lebih daripada 3,300 doktor muda daripada 3,700 yang berkhidmat di hospital kerajaan, meninggalkan tugas di hospital dan klinik sebaik saja rundingan dengan kerajaan tidak menemui jalan penyelesaian.

Persatuan Doktor Residen New Zealand (NZRDA) berkata, rundingan sudah diadakan dengan Lembaga Kesihatan Daerah (DHB) selama lebih daripada satu tahun berhubung terma-terma baharu, yang menetapkan pembayaran untuk kerja lebih masa, hujung minggu dan tugas malam.

Susulan kegagalan rundingan membuatkan kesatuan itu mengisytiharkan mogok selama 48 jam pada 29 dan 30 Januari depan, bertujuan untuk memberi tekanan kepada kerajaan.

– Reuters

Categories
SELANGOR

Doktor Malaysia dari Selangor antara 17 pemimpin muda PBB

KUALA LUMPUR 21 SEPT: Warga Malaysia yang berbakat terus melakar kecemerlangan di hall of fame antarabangsa selepas Mohd Lutfi Fadil Lokman dipilih oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyertai 16 warga global yang lain sebagai pemimpin muda PBB bagi Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).

Doktor perubatan berusia 29 tahun dari Gombak, Selangor itu dipilih dari kalangan 18,000 pencalonan dari 186 negara berdasarkan inisiatif beliau, Hospital Merentasi Sempadan (HBB) dan selepas penilaian menyeluruh oleh sebuah jawatankuasa pemilihan peringkat tinggi, terdiri daripada wakil dari kerajaan, PBB, masyarakat sivil dan sektor swasta.

“Saya berasa sangat bertuah dan bangga dengan pemilihan ini dan saya masih terkejut dengan penghormatan ini apabila dimaklumkan (mengenai pemilihan) saya sebulan yang lalu. Tetapi pada masa yang sama, saya sedar bahawa dipilih oleh PBB juga bermakna saya memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk melaksanakan 17 SDG.

“Saya menaruh harapan untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan, badan-badan PBB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi memastikan semua SDGs ini tercapai,” katanya ketika dihubungi Bernama selepas perasmian Social Good Summit 2016 di New York, malam Isnin.
Acara tahunan itu yang diadakan semasa minggu Perhimpunan Agung PBB (UNGA)merupakan persidangan dua hari untuk mengkaji impak teknologi dan media baharu ke atas inisiatif sosial murni di seluruh dunia.

Pada 1 Januari tahun ini, 17 SDGs daripada Agenda Pembangunan Lestari 2030, yang diterima pakai oleh pemimpin dunia pada September 2015 pada Sidang Kemuncak PBB yang bersejarah, berkuatkuasa secara rasmi.

dradfsfggty-transformedMohd Lutfi Fadil yang berkongsi impian untuk menubuhkan sebuah persatuan sukarela yang memberi tumpuan untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang mapan dalam komuniti, berkata usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh Mercy Malaysia, Doctors Without Borders dan NGO yang lain sentiasa memberi inspirasi kepadanya.

“Ia bermula apabila saya ialah pelajar perubatan semester empat di Universiti Kebangsaan Malaysia dan dimasukkan ke hospital kerana kecederaan serius di kepala.

“Cecair otak mengalir keluar dari salah satu telinga dan gendang telinga saya rosak, menjejaskan keseimbangan dan keupayaan untuk berjalan.

“Saya berjanji jika Tuhan menyembuhkan keadaan saya, saya akan meneruskan impian dan usaha untuk membantu masyarakat untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang mapan. Saya bersyukur kerana doa saya dikabulkan Tuhan dan pada 2012, HBB diwujudkan dan diasaskan bersama oleh sahabat saya, Dr. Wan Abdul Hannan,” katanya.

Menurut beliau, banyak NGO yang berusaha dalam sektor penjagaan kesihatan dan kemanusiaan tetapi kebanyakannya tidak berkekalan. Idea HBB ialah untuk membina klinik dan hospital yang mampu menampung dan memperkasakan komuniti di kawasan itu untuk menjalankan kerja-kerja sosial.

Doktor kelahiran Gombak itu berkata usaha pertubuhan sukarela itu bermula dengan memberi perkhidmatan perubatan dan khidmat nasihat kepada masyarakat luar bandar melalui klinik bergerak.

“Tetapi pada Jun 2015, kami telah menubuhkan sebuah klinik di Kemboja, dengan memberi tumpuan untuk membantu masyarakat Islam, orang Cham. Kami merekrut dua doktor perubatan dari Kementerian Kesihatan Kemboja untuk berkhidmat sepenuh masa dengan HBB.

“Pada masa yang sama, dengan menggunakan kepakaran perubatan kami, kami melatih komuniti tempatan di sana untuk bekerja sebagai pekerja kesihatan atau pembantu perubatan dan tugas mereka adalah untuk menemui masyarakat dan memberi bantuan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, HBB akan menghantar beberapa doktor perubatan dari Malaysia ke Kemboja untuk menganjurkan latihan untuk doktor di sana, terutama tentang cara menggunakan peralatan hospital.

“Selain dua sepenuh masa, ada dua jururawat sepenuh masa dan seorang juruteknik makmal yang mengendalikan klinik HBB di Kemboja,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai rancangannya akan datang, Mohd Lutfi Fadil teruja untuk berkongsi berita mengenai pembukaan hospital bersalin HBB di Kemboja, yang dijangka beroperasi menjelang Januari depan selepas siap pada Ogos tahun ini.

“Kami menggunakan keuntungan yang dijana dari klinik untuk memberi subsidi bagi rawatan kepada pesakit kurang berkemampuan dan membina lebih banyak kemudahan perubatan.

“Contoh kemudahan perubatan yang kami bina ialah hospital bersalin yang dijangka beroperasi pada Januari 2017. Sekali lagi, matlamat kami ialah untuk merealisasikannya di negara itu melalui pemindahan ilmu antara Malaysia dan Kemboja,” katanya.

Menurut beliau, jurang perbezaan ekonomi adalah besar di Kemboja dan ini boleh dilihat dalam ketersediaan peralatan hospital atau jentera yang hanya dterdapat di hospital-hospital utama di bandar tetapi tidak ada di kawasan yang didiami oleh komuniti miskin.

“Kami bekerjasama rapat dengan Kerajaan Kemboja dan NGO tempatan di negara itu. Kerajaan (Kemboja) menyokong misi kami kerana negara itu amat miskin dan mereka tidak dapat menyediakan penjagaan kesihatan kepada semua komuniti.

Saya suka melakukannya. Ia menjadikan saya dan pasukan saya menghargai perbezaan antara kedua-dua negara dan ia membantu untuk menimba ilmu yang lebih luas dalam perspektif perubatan,” katanya.

Dan nasihatnya kepada golongan belia Malaysia ialah: Jika anda mempunyai impian atau sesuatu yang membara dalam hati, lakukannya semasa anda masih muda.

Kerana permulaan adalah paling sukar. Jadi, jika anda mempunyai apa-apa impian, lakukannya. –

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

AMK: Kementerian Kesihatan perlu tambah baik sistem kerja doktor

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUL: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Kementerian Kesihatan menambahbaik sistem dan suasana kerja bagi doktor perubatan di negara ini khususnya sektor awam.

Timbalan Ketuanya, Dr Afif Baharuddin, mencadangkan kementerian menyediakan penempatan mengikut keperluan semasa dan sentiasa responsif terhadap sebarang perubahan.

“Tanggungjawab itu terletak pada ketua jabatan untuk memastikan bukan hanya jumlah kuantiti yang ditangani tetapi kecergasan dan tahap emosi doktor yang bertugas turut dipantau,” katanya dalam kenyataan.

Afif Bahardin 01Beliau berkata demikian bagi merujuk berita kematian jalan raya seorang doktor perubatan di Hospital Sungai Buloh, Allahyarhamah Dr Afifah Mohd Ghazi, semalam.

Kemalangan terbabit berpunca daripada keadaan beliau yang terlalu penat dan hilang kawalan ke atas kenderaan.

Dr Afif turut mencadangkan pihak berwajib mewujudkan Peraturan Had Waktu Bekerja.

Katanya, peraturan itu sudah diperkenalkan dalam sebahagian daripada Undang-Undang Buruh di beberapa negara maju dan disesuaikan kepada sektor kesihatan.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan wajar mengkaji keperluan memperkenalkan had waktu bekerja untuk doktor iaitu purata 48 jam seminggu dalam tempoh 26 minggu dengan syarat tidak melebihi 72 jam dalam masa satu minggu.

doktor“Mereka juga perlu rehat wajib untuk setiap syif dan perkenalkan waktu itu sekurang-kurangnya 20 minit,” katanya.

Selain itu, doktor juga perlu diberikan perlepasan selepas tamat tugasan atas panggilan (on-call).

“Kebanyakan doktor yang bertugas di atas panggilan wajar diberikan pelepasan terutama selepas tamat tugas. Ini bagi memberi ruang yang secukupnya untuk doktor itu berehat,” katanya.

Beliau berkata, hospital juga wajar menyediakan tempat, ruang atau bilik rehat yang selesa untuk doktor yang bertugas atas panggilan.

“Kemudahan ini amat perlu bagi memberi peluang kepada doktor untuk berehat,” katanya.

Afif berharap saranan itu dipertimbangkan kementerian seterusnya dapat membantu membela kebajikan doktor.

“Saya juga yakin kualiti perkhidmatan mereka juga akan meningkat apabila perubahan seperti yang dicadangkan ini diperkenalkan,” katanya.

-NFN-