Categories
NASIONAL

Anggota bomba sayu tapi bangga bertugas 1 Syawal

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 17 JULAI: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Sungai Buloh juga teruja jika berkesempatan pulang beraya di kampung halaman sama seperti masyarakat Islam lain.

Namun, niat itu terpaksa dipendamkan sahaja kerana tanggungjawab yang memerlukan mereka bersiap siaga setiap masa demi kepentingan nyawa dan harta orang awam.

bomba yusafriPegawai Bomba, Yusafri Mohd Yusoff, 30, yang berasal dari Kedah berkata, perasaan sayu beraya di tempat kerja tanpa isteri dan anak tetap dirasai terutama ketika takbir raya berkumandang.

“Dua atau tiga hari sebelum raya, saya dah hantar empat anak dan isteri pulang ke kampung. Memang sayu beraya seorang diri di sini tetapi mujur ada rakan yang senasib menceriakan keadaan.

“Walaupun sayu kerana bertugas tetapi perasaan bangga tetap ada kerana kita menjaga keselamatan orang awam,” katanya ketika ditemubual Selangor Kini di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi Pegawai Bomba, Suffian Ismail, 31, berkata keperitan beraya di tempat kerja tetap dirasai dan dia sudah tiga tahun berturut-turut tidak dapat cuti beraya.

suffian bomba“Pengalaman bekerja di pagi raya memang agak memeritkan sebab berjauhan dengan keluarga kerana hanya tinggal saya seorang di sini. Keluarga dah balik Perlis tetapi memang nasib pegawai bomba kena bertugas di hari raya.

“Bagaimanapun, ada juga badan bukan kerajaan (NGO) datang sini pada 1 Syawal beri sumbangan seperti juadah raya dan lain-lain,” katanya.

Rakan sejawatnya, Tarmizi Abd Ghani, 45, yang berasal dari Perak pula agak bernasib baik kerana berpeluang bercuti untuk berhari raya bersama keluarga di kampung halaman.

tarmizi“Bersyukur dapat bercuti kali ini. Ia peluang untuk kita meraikan Aidilfitri bersama anak, isteri dan ibu bapa di kampung.

“Sebelum ini, memang dah kerap berhari raya di balai dengan rakan setugas. Memang rasa sunyi dan sayu terkenangkan kampung tetapi ia seakan hilang dengan kehadiran rakan yang lain.

“Biasanya, jika kena bertugas di hari raya, saya juga hantar keluarga pulang ke kampung kerana kesian mereka beraya di sini. Bukan ada apa-apa dan ibu bapa juga masih ada,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.