Categories
SELANGOR

Bukan makan gaji buta, pegawai LZS giat cari asnaf

Oleh Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 23 JULAI: Dakwaan pegawai zakat hanya makan gaji buta yang tersebar di media sosial, tidak tepat sekurang-kurangnya kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ia berikutan LZS sudah menubuh Skuad Jejak Kemiskinan yang sejak tujuh tahun lalu yang giat membuat bancian bagi mengenal pasti asnaf fakir dan miskin di negeri ini.

Mengikut kenyataan di Facebook rasmi, skuad itu bekerjasama dengan jawatankuasa penduduk dan menggunakan media sosial bagi mencari asnaf di kampung mahupun bandar.

LZS juga menghebah lokasi turun padang skuad berkenaan setiap kali bancian dibuat menerusi laman sosial mereka.

“Hampir 42,000 keluarga asnaf fakir dan miskin mendapat bantuan LZS sehingga RM1,000 sebulan bergantung kepada tanggungan.

“Persekolahan anak juga dibantu bermula pra-sekolah hingga peringkat universiti, antaranya yuran pengajian, bantuan komputer riba dan sebagainya,” katanya.

Ia sebagai maklum balas terhadap keraguan agihan zakat yang menjadi viral di Facebook sejak pagi tadi.

Dakwaan dibuat pengguna Facebook, Saff Rainz yang mengatakan kakitangan di pusat zakat hanya makan gaji tanpa mencari asnaf.

Meskipun tidak menyebut pengurusan zakat negeri secara khusus, LZS berasa bertanggungjawab memberi penjelasan.

Kenyataan itu juga menyebut, LZS turut memiliki kaunter ekspres yang menyediakan bantuan RM500 dengan tempoh kelulusan 45 minit melalui satu borang.

“Sebagai organisasi bertanggungjawab mengurus zakat di Selangor, kami berusaha memberi yang terbaik dalam pengagihan zakat,” katanya.

LZS juga menyediakan Talian Khidmat Pelanggan bebas tol 1-800-88-5353 bagi melapor sebarang maklumat berkaitan asnaf.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.