Categories
NASIONAL

Himpunan besar media 8 Ogos tanda solidariti The Edge

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 JUL: Perhimpunan besar bakal diadakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) media pada 8 Ogos depan sebagai tanda solidariti kepada kumpulan media The Edge yang digantung penerbitan akhbar harian dan mingguannya bermula Isnin ini.

Dalam kenyataan bersama Gerakan Media Marah (Geramm), Institute of Journalists (IoJ), Reporter Sans Frontiers (RSF), Center for Independent Journalism (CIJ) dan Foreign Correspondents Club of Malaysia, lokasi perhimpunan itu akan diadakan di Kuala Lumpur.

The EdgeNamun, lokasi bagi perhimpunan terbabit masih dalam perbincangan.

Selain itu, sebuah himpunan solidariti turut akan diadakan di pejabat The Edge pada Jumaat, 31 Julai 2015.

Mereka turut menggesa semua pengamal media supaya turut bersama dengan menurunkan tandatangan pada sidang akhbar yang bakal diadakan pada hari terbabit dengan menggunakan hashtag #AtTheEdge menggantikan nama sendiri.

Dalam kenyataan itu juga, hashtag itu turut akan digunakan bagi kesemua kempen berkaitan solidariti terhadap The Edge termasuk di media sosial.

“Kami mengulangi gesaan untuk kerajaan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan – undang-undang yang dilihat menyekat kebebasan media dan bersuara di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Mereka juga menggesa supaya dihentikan campur tangan politik dalam hal ehwal media, dan akses kepada tidak dikekang oleh mana-mana undang-undang atau proses.

“Apa yang berlaku terhadap The Edge bukan sesuatu yang baharu dan tidak akan menjadi yang terakhir, melainkan jika kita bersuara menentangnya secara kolektif,” tegas kenyataan itu lagi.

Geramm hari ini bersama beberapa NGO seperti Bersih 2.0, Jaringan Orang Asli Semenanjung (JAOS) dan Teoh Beng Hock Trust Democracy telah menghantar bunga kepada kumpulan media The Edge tersebut.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.