Categories
SELANGOR

Jom Sapu Bersih terjah lokasi sampah haram

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 29 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan kempen ‘Jom Sapu Bersih’ yang akan melibatkan sembilan zon kawasan pembuangan sampah haram bagi meneruskan langkah membendung gejala denggi.

Usaha itu akan melibatkan semua jabatan MBPJ, kontraktor dan masyarakat sempena Bulan Kemerdekaan bermula 15 Ogos hingga 31 Ogos ini.

Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata pihaknya akan memagar kawasan yang menjadi tempat pembuangan sampah haram dan mengambil tindakan terhadap pemilik tanah.

Mohd azizi mbpjKatanya, tindakan memagar tanah bagi mengelakkan kejadian pembuangan sampah haram berulang.

“MBPJ menyiapkan kos RM850,000 untuk kempen ini dan RM310,000 akan diperuntukkan bagi memagar kawasan yang dijadikan lokasi pembuangan sampah haram.

“Ia melibatkan semua kawasan dan tidak tertumpu kepada kawasan persendirian sahaja,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bilangan 7/2015 di ibu pejabat MBPJ.

Beliau berkata, MBPJ turut meminta kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Petaling untuk tindakan susulan termasuk pemberian notis awal.

Setakat ini, tujuh individu ditangkap berhubung kejadian pembuangan sampah haram dengan tiga orang daripadanya adalah warga tempatan dan akan dikenakan tindakan undang-undang.

Berdasarkan statistik kes denggi minggu epid 29, Daerah Petaling mencatatkan penurunan 162 kes berbanding 261 kes pada minggu epid 27.

Daerah Petaling Jaya berada di kedudukan ketiga dengan 5,379 jumlah kes denggi dan kekal mencatatkan 11 kematian, sejak Mei lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.