Categories
KENYATAAN MEDIA

Kekurangan air terawat punca gangguan di Hulu Langat & Kuala Langat

PENYELESAIAN GANGGUAN BEKALAN AIR DI KAWASAN HULU LANGAT DAN KUALA LANGAT

Oleh:  ZAIDY ABDUL TALIB

Kerajaan Negeri Selangor prihatin dan bersimpati dengan kesulitan yang telah dihadapi oleh penduduk dan pengguna-pengguna di kawasan Hulu Langat dan Kuala Langat sepanjang tempoh gangguan bekalan air ini terjadi lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadhan dan musim perayaan ini.

Antara punca gangguan bekalan air di kawasan terbabit semakin serius, adalah kerana kekurangan jumlah air terawat yang tidak dapat disalurkan oleh pihak SYABAS kepada para pengguna. Selain itu, berlaku gangguan dari segi operasi loji yang menyebabkan air terawat ini tidak dapat disalurkan sebaiknya kepada para pengguna dan keadaan bertambah buruk apabila kerosakan teknikal yang dikesan oleh pihak SYABAS menyebabkan gangguan bekalan air ini terus berlaku.

Di dalam mesyuarat pemantauan bekalan air yang dihadiri oleh saya, dan dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, antara tindakan serta merta yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan dalam usaha untuk mengatasi masalah gangguan bekalan air tersebut adalah seperti berikut :-

– Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan supaya operator loji rawatan seperti Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, SPLASH, ABASS dan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran air loji dalam wilayah Hulu Langat dan Sepang seperti Loji Sungai Labu, Salak Tinggi dan Cheras Batu 11.

– SYABAS telah diarahkan untuk meningkatkan pengagihan rumah pam Wangsa Maju dari SSP1 & SSP3 ke Pudu Ulu di mana dengan ini dapat mengurangkan kawasan agihan dari Loji Rawatan Air Sungai Langat.

– Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan Puncak Niaga untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air di Loji BRH di mana dengan cara ini dapat membantu menampung agihan di sebahagian kawasan Kuala Selangor. Pada masa yang sama, bekalan air dari Loji SSP 1 dapat dialihkan ke Kolam Lipat Kajang bagi membantu kawasan Sijangkang dan Kuala Langat.

Selain itu, Projek Mitigasi 2 yang dijadualkan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2015 akan mengambil alih sebahagian kawasan agihan Loji Sungai Semenyih dan Loji Sungai Langat. Antara kawasan yang terlibat ialah Seputeh, Petaling Jaya dan USJ. Projek ini juga akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran air di Loji Rasa dan akan mengambil alih kawasan Rawang dari SSP3.

Langkah-langkah untuk mengatasi gangguan bekalan air yang dicadangkan di atas adalah merupakan langkah jangka pendek sebagai penyelesaian sementara. Justeru, Kerajaan Negeri Selangor terus komited dalam pelaksanaan Projek Langat 2 yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2019 seterusnya menyelesaikan gangguan bekalan air di Negeri Selangor secara sepenuhnya.

Kita merancang, Allah juga merancang. Sebaik-baik perancangan hanyalah milik Allah swt. Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah swt.

Sekian, terima kasih.

# Zaidy Abdul Talib adalah Exco Irastruktur & Kemudahan Awam,  Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani 

Leave a Reply

Your email address will not be published.