Categories
SELANGOR

Pelabur jangan keliru status tanah di PJ

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 2 JUL: Pelabur atau penyewa yang berminat untuk memiliki hartanah di Petaling Jaya dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak terkeliru dengan status tanah terbabit.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, berkata kebanyakan iklan hartanah yang disiarkan di laman web tidak menyatakan dengan jelas sama ada ia hartanah komersial, perumahan atau komersial terhad.

Katanya, terdapat pelabur yang tertipu hingga terpaksa menanggung kerugian hampir jutaan ringgit.

IMG_20150701_110052“Terdapat banyak iklan hartanah komersial disiarkan di laman web tetapi statusnya tidak tepat. Contohnya harta komersial untuk dijual di Jalan Templer.

“Tetapi dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ), kawasan itu bukan zon komersial sebaliknya untuk kediaman.

“Kebanyakan ejen hartanah tidak bersikap profesional serta gagal memberi maklumat tepat kepada pembeli atau pelabur,” katanya pada sidang media, di sini.

Rajiv berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah mengehadkan zon komersial sejak 2007 dan hanya membenarkan sedikit perdagangan terhad di beberapa kawasan.

jalan sultan mbpjKatanya, ia merujuk kepada Jalan Gasing, Jalan Universiti, Jalan Kemajuan, Jalan Datuk Abu Bakar, Jalan Utara, Jalan Othman, Jalan Penchala, Jalan Selangor dan Jalan Timur.

“Hanya di kawasan ini yang dibenarkan untuk menukar hartanah perumahan kepada komersial terhad untuk dijadikan balai seni lukis, dewan pameran dan rumah orang tua.

“Sebab itu, kita minta pembeli atau pelabur supaya berhati-hati ketika membeli hartanah ini kerana bimbang status tanah tidak boleh ditukar atau akan dikenakan premium tinggi. Mereka boleh semak RTPJ di ibu pejabat MBPJ,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan menulis surat kepada Lembaga Penilai, Penaksir dan Ejen Hartanah (LPPEH) bagi memantau tindakan ejen yang memberi maklumat palsu terhadap penjualan hartanah.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.