Categories
NASIONAL

Najib Razak patut bentang audit 1MDB segera

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 JUL: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Aturan Mesyuarat Parlimen bukan penghalang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membentangkan laporan awal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh ketua audit negara.

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Tony Pua berkata Najib yang juga selaku Menteri Kewangan masih berdegil untuk membentangkan laporan awal itu yang boleh menjawab pelbagai tuduhan mengenai 1MDB.

Najib-1MDB“Dakwaan menteri (Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan) jelas tidak masuk akal.

“Walaupun prosiding PAC tidak boleh diumumkan sehingga laporan PAC dibentangkan di Parlimen, itu ialah laporan PAC dan bukan laporan ketua audit negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata PAC tidak mempunyai kuasa menghalang dokumen yang dihantar kepada jawatankuasa secara berasingan dipaparkan kepada umum atau pihak lain.

“Apa yang memungkinkan perkara itu terjadi ialah arahan daripada menteri kewangan yang memiliki laporan ketua audit negara,” katanya.

Pua turut mempersoalkan tindakan Rahman yang cuba melindungi mereka yang bersalah terlibat dalam penyelewengan dan penipuan dengan memetik peraturan tidak wujud.

Katanya, Rahman mesti berhenti memberi alasan rapuh dan tidak dapat dipertahankan bagi menghalang laporan awal 1MDB oleh ketua audit negara disiarkan kepada umum.

“Lebih banyak yang beliau lakukan, lebih ramai akan percaya pentadbiran Najib menyembunyikan kebenaran dan kebenarannya ialah dana 1MDB hilang melalui penyelewengan dan jenayah pecah amanah.

“Ia akan mengukuhkan persepsi yang menteri tersebut seboleh mungkin melindungi penjenayah atas kesalahan menipu transaksi berbilion ringgit.

“Menteri tersebut perlu sedar kebenaran pasti akan terserlah jua dan ia tidak akan berjaya disembunyikan,” katanya.

Sebelum ini, pimpinan PKR, PAS dan DAP mendesak agar Kerajaan Persekutuan membentangkan laporan audit skandal 1MDB kepada umum.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.