Categories
NASIONAL

Pak Tih terkenang memori kanak-kanak beraya bersama Anwar

Oleh NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 22 JULAI: Sambutan Aidilfitri sentiasa ditunggu-tunggu kebanyakan kanak-kanak .

Tidak terkecuali, sekumpulan kanak-kanak di Kampung Cherok To’ Kun, Pulau Pinang sekitar tahun 50-an termasuk Pak Tih atau nama sebenarnya Osman Ibrahim.

Mengimbau kenangan itu, beliau sama seperti kanak-kanak lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melepaskan peluang berhari raya di rumah penduduk kampung.

“Masa itu tidaklah dapat banyak duit raya seperti sekarang, kalau dikumpul semua adalah dalam seringgit lebih sahaja.

“Lagi pun kami ketika itu tidak redah semua rumah tetapi hanya beraya di rumah yang kenal sahaja.

“Anwar pula, setiap kali beraya pasti beraya di rumah guru mengaji dia, rumah ustaz-ustaz sebab dia memang taat pada mereka,” katanya kepada Selangor Kini.

Cerita Pak Tih lagi, hubungannya dengan Anwar kekal terjalin walaupun Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sudah menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Biasanya malam raya di Cherok To’ Kun, Anwar akan panggil kami datang ke rumah. Pada masa sama, ramai ahli politik berkunjung ke rumah dia. Jadi kami segan hendak bersembang sama.

“Bila lewat malam, kami mahu balik, Anwar tahan kami. Dia kata, buat apa balik, kita baru hendak mula. Selepas tetamu lain balik, kami bersembang hingga jam 2.30 pagi,” katanya.

Pak Tih berkata, Anwar juga kerap berkunjung ke rumah saudara maranya dengan memandu sendiri.

“Selalunya pada hari raya, Anwar akan suruh pengawal peribadinya pulang. Dia kata tak apa, Cherok To’ Kun kampung dia. Dia selamat di sini. ‘Hangpa’ pi lah balik beraya.

“Walaupun disediakan kereta daripada Tuan Yang Terutama (TYT) bersama pemandu tetapi Anwar gemar memandu sendiri kereta yang dipinjam daripada saudara-mara,” katanya.

Katanya, Anwar juga meneruskan tradisi menziarahi penduduk kampung terutama bekas guru dan ustaz yang pernah mengajar mengaji terutama apabila ada kenduri kendara.

“Kalau pergi majlis perkahwinan, Anwar tak suka makan di tempat VIP (orang kenamaan) tetapi suka makan di tempat masak atau kami panggil ‘gedehok’.

Di situ ramai orang-orang lama dia boleh bersembang. Anwar ambil nasi dan lauk, duduk di perdu kelapa. Makan sambil bersembang dengan orang lama kampung kami,” katanya.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.