Categories
SELANGOR

Pelarian Chechnya harungi detik sukar berdikari

Oleh: AFIX REDZUAN

WARSAW, 7 JUL: Kesukaran diharungi Pelarian Chechnya selepas dibenarkan meninggalkan kem pelarian dapat dirasakan ketika Delegasi Kerajaan Selangor dan Muslim Care menyerahkan sumbangan kepada mereka.

Tanpa pekerjaan tetap, beban yang ditanggung kian terhimpit dengan tekanan hidup selepas terpaksa berdikari sepenuhnya.

Selangor Kini bersama Delegasi Kerajaan Selangor dan Muslim Care sempat menyampaikan bantuan barang keperluan kepada mereka bersempena dengan Misi Bantuan Kemanusiaan Pelarian Chechnya.

11703297_10204594313318158_7727344297211211263_nSeorang suri rumah, Zarimah terpaksa menyara empat orang anak yang masih kecil berumur antara lima hingga dua tahun selepas suaminya menghilangkan diri.

Enggan mengulas lanjut mengenai masalah yang dihadapi beliau berkata, setiap bulan sebanyak 1,500 Złoty diperlukan untuk perbelanjaan keluarga.

Menurutnya, 1,000 Złoty daripadanya diperlukan untuk membayar sewa rumah pangsapuri yang didiami sejak lapan tahun lalu di Kolo Ul Górczewska.

Katanya, setiap bulan beliau terpaksa mendapatkan belas ehsan rakan-rakan untuk menampung perbelanjaan bulanan.

Kehidupan mereka yang tergolong dalam kumpulan fakir tambah menyedihkan apabila rumah yang disewa kecil dan mempunyai satu bilik, ruang tamu dan dapur sahaja.

Delegasi misi bantuan meneruskan perjalanan bertemu sebuah lagi keluarga di Warsaw yang didiami sepasang suami isteri, Ismail, 55 dan Aiza, 39 bersama enam orang anak.

Tanpa pekerjaan tetap, keluarga ini terpaksa membayar sewa rumah sebanyak 1,500 Złoty sebulan serta menyara anak yang masih bersekolah.

Menurut Ismail, kehidupan di dalam kem pelarian lebih selesa memandangkan mereka tidak perlu memikirkan jumlah perbelanjaan yang banyak terutama rumah sewa selain memperoleh wang saku.

“Di sini, polisi kerajaan sukar memberikan pekerjaan kepada orang luar. Jika ada kerja kecil-kecilan, baru ada duit belanja,” katanya yang sudah enam tahun meninggalkan kem pelarian untuk berdikari.

Prihatin dengan nasib dua keluarga ini, Kerajaan Selangor yang diwakili Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Bantuan berbentuk barangan keperluan yang diserahkan antaranya mengandungi beras, minyak masak, gula, tepung, garam, biskut serta sabun pencuci.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.