Categories
NASIONAL

Skandal 1MDB: Menteri tiada integriti, tak peduli betul atau salah

SHAH ALAM, 25 JUL : Tindakan Menteri Kabinet yang tidak berintegriti apabila ‘membenarkan’ kerajaan terus menyalahgunakan undang-undang untuk melindungi dalang sebenar skandal dipersoalkan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, berkata pihaknya menjangkakan beberapa menteri yang lebih ‘pintar’ seperti Khairy Jamaluddin dan Datuk Idris Jala untuk melihat pembohongan dan kemusnahan yang berlaku dalam 1 Malaysia Develompent Berhad (1MDB).

Najib-1MDB“Meskipun dengan kehadiran beberapa risikan, jelas tiada nurani atau integriti dalam jiwa menteri ini.

“Mereka mungkin tidak bodoh, tetapi mereka tidak lagi peduli apa yang betul atau salah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pua berkata apa yang nyata menteri tidak lagi mengambil peduli sama ada negara sedang dirompak mahupun pemberi maklumat berdepan hukuman.

“Mereka tidak akan bercakap menentang rasuah dan ketidakadilan kerana mereka hanya berminat untuk mengekalkan status politik sendiri dan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula mempertikaikan mengapa akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia tidak pernah digantung meskipun berulang kali menerbitkan maklumat yang meragukan.

Malah katanya akhbar secara jelas menyiarkan berita palsu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan kepentingan negara.

“Mengapa Utusan tidak pernah ditutup lama dahulu kerana ia berulang kali menerbitkan bukan sahaja maklumat tidak disahkan, tetapi benar-benar palsu yang menjejaskan ketenteraman awam dan kepentingan negara.

“Mengapa ada undang-undang berbeza untuk Utusan Malaysia dan penerbitan The Edge?” soalnya.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pula berpendapat kerajaan tidak berhasrat membenarkan kebenaran didedahkan, sebaliknya hanya berminat melindungi orang berkepentingan daripada menghadapi penelitian awam.

Justeru gabungan itu menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jawapan berhubung dakwaan The Edge untuk membuktikan beliau tidak terlibat dengan skandal terbabit.

“BERSIH 2.0 menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk segera membatalkan penggantungan The Edge yang mendedahkan amalan rasuah yang didakwa mempunyai kaitan dengan Kerajaan Malaysia.

“Sehingga itu, BERSIH 2.0 berdiri bersama The Edge dan kita meminta semua rakyat Malaysia untuk bersatu bagi memastikan Malaysia tidak lagi perlu menanggung apa-apa skandal,” katanya.

KDN semalam mengumumkan penggantungan permit penerbitan The Edge dan The Edge Financial Daily selama 3 bulan, mulai 27 Julai.

Awal bulan ini, The Edge diberikan 7 hari, melalui surat tunjuk sebab, menjelaskan mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap penerbitan itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

The Edge dituduh menerbitkan artikel mengenai 1MDB, dana negara yang kontroversi, yang dikatakan menimbulkan kekeliruan dan keraguan tentang institusi kewangan kerajaan dan Malaysia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.