Categories
NASIONAL

Pakatan perlu bersatu hadapi sebarang kemungkinan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 25 JUL: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan semua parti dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) bersatu untuk bersedia menghadapi suatu kemungkinan yang akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, Anwar menyampaikan pesanan itu kepadanya semasa beliau melawat Anwar di Penjara Sungai Buloh petang semalam.

MB Azmin“Dalam masa terdekat ini ada beberapa kemungkinan berlaku yang akan kita saksikan dan Insha Allah dengan perpaduan utuh parti dalam Pakatan, beliau yakin inilah permulaan yang baik untuk kita mendirikan sebuah kerajaan baru demi kepentingan rakyat.

“Jangan kita perlekehkan suasana politik semasa. Sebarang kemungkinan akan berlaku. Saya tidak perlu nyatakan secara terperinci tetapi harapan beliau dalam perkembangan terbaru ini semua pihak PKR, DAP, PAS dan NGO termasuk BERSIH 2.0, IKRAM dan rakan-rakan dalam Gerakan Harapan Baru dapat bersama menentukan masa depan negara,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program Jelajah Amanat Presiden di Dewan Sri Siantan di sini, petang semalam.

Jelas Dato’ Menteri Besar Selangor itu lagi, selain menuntut kesungguhan semua pihak mempertahankan sebuah kerajaan baru dengan kesatuan semua pihak, perkembangan terbaru itu juga membolehkan Anwar dikembalikan ke pangkuan rakyat dan keluarganya.

Katanya lagi, kepimpinan kerajaan ada sekarang tidak boleh diterima berikutan langkah mengakibatkan negara berada pada tahap paling rendah sehingga tidak mendapat penghormatan masyarakat antarabangsa dan pelabur asing.

Tambah Mohamed Azmin lagi, antara kesan buruk akibat tindakan tidak bertanggungjawab pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) itu, matawang ringgit jatuh pada tahap terendah iaitu RM4.03 bagi setiap satu Dollar Amerika dan RM3 bagi setiap satu Dollar Singapura.
EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.