Categories
AGAMA

Terjah sahur santuni asnaf

Oleh SYASYA SUFIAN

Rumah usang bukanlah penghalang untuk menyambut Ramadan.

Walaupun disambut dengan serba kekurangan tetapi ganjaran di akhirat tidak mengira siapa atau bagaimana rumah mereka pada padangan manusia.

Pada bulan mulia inilah, Allah menggandakan pahala buat orang-orang yang berpuasa dan beribadah melebihi di bulan lain.

Begitu juga Jailani Hanafiah, 51, yang tetap menyambut Ramadan walau hidup dalam keadaan serba kekurangan di rumah yang tiada jaminan keselamatan buat diri dan keluarga.

IMG_3044Struktur yang seakan-akan rumah separa siap, pintu rumah dan tingkap yang hanya berpagar langsir serta dinding dan bumbung yang lopong, menjadi tempah berteduh Jailani dan keluarga.

Tiada sofa empuk, tiada katil untuk istirehat. Hanya berlapik tikar di simen yang dingin. Begitu Jailani dan keluarga sejak mendiami rumah itu sejak 40 tahun lalu.

Tak siapa yang tidak akan sayu memikirkan bagaimana keselamatan mereka dengan siang dan malam tanpa pintu, tanpa tingkap dan tanpa pagar yang boleh dikunci.

Tetapi itulah yang dilalui berhari-hari oleh keluarga Jailani.

Bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,300, beliau menanggung empat anak bersama isteri, seorang suri rumah di Jalan Gajah 18, Kampung Kubu Gajah.

Anak sulungnya, Abdul Raman, 26, sudah mendirikan rumah tangga dan tinggal bersebelahan, juga bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Kami menyambut Ramadan sekadar termampu untuk bersahur dan berbuka bersama anak menantu. Itu sudah cukup memadai.

IMG_3114Sudahlah begitu, isterinya, Zurina Hamdan, 47, hampir tiga bulan tidak boleh berjalan mahupun menguruskan hal rumah tangga berikutan mengidap kencing manis.

“Selepas menjalani rawatan, saya hanya mampu baring sepanjang tiga bulan. Kini, Alhamdulillah saya kembali boleh berjalan sedikit untuk menyiapkan juadah sahur.

“Anak kedua, Muhammad Arif berusia 20 tahun banyak meringankan beban keluarga dalam perbelanjaan harian dan persekolahan adik-adiknya,” kata Zurina, sebak.

Justeru, ketibaan mengejut Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada jam 4.30 pagi menggembirakan mereka sekeluarga, dapatlah menjamah nasi berlauk yang jarang-jarang dinikmati mereka.

Selain terkejut, kesayuan terpapar pada wajah Jailani dan keluarga saat menerima sumbangan itu. Walau sedikit tetapi rasa kesyukuran terkesan di riak mereka.

Keluarga mereka antara enam rumah singgahan LZS untuk memberi sumbangan dan juadah bersahur melalui Terjah Singgah Sahur.

“Sejak lima tahun lalu, saya menerima bantuan zakat. Saya mulakan sedikit demi sedikit duit untuk membaiki rumah yang asalnya rumah kayu tetapi dimakan anai-anai.

IMG_3014“Tapi untuk siap sepenuhnya, tak dapat anggaran kerana bila ada duit, barulah buat ubah suai,” katanya.

Rumah terakhir yang dikunjungi LZS ialah kediaman Mohd Badrun Sadri berusia 47 tahun.

Beliau sedang sibuk menyiapkan juadah sahur ketika LZS tiba dan menyambut kehadiran kami hati terbuka disulami gelak tawa yang memecah kesayuan hati menyaksikan kedaifan rumahnya.

Menanggung lapan anak manakala seorang sudah berumah tangga, Mohd Badrun bersyukur dan berterima atas kunjungan dan sumbangan juadah sahur.

Pengurus LZS Petaling, Zulkepli Mad Yatim menyifatkan jelajah itu dapat memasyarakatkan zakat dan merapatkan hubungan silaturahim.

“Melalui program ini, kita turut sama merasai kesusahan mereka yang mungkin tidak ada juadah bersahur,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Kegembiraan bagi Zulkepli apabila melihat reaksi teruja golongan asnaf ketika rombongan itu tiba dengan membawa juadah sahur dan sumbangan lain.

“Kita dapat melihat keadaan sebenar asnaf dan kemudian LZS akan mempertingkat bantuan dalam menyantuni mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.