Categories
NASIONAL

Walau dipenjara Anwar tetap juang nasib rakyat

Oleh: AFIX REDZUAN

ARAU, 26 JUL: Meskipun jasad terpenjara, namun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap memperjuangkan nasib rakyat apabila melahirkan kebimbangan berhubung perkembangan semasa ekonomi negara.

Tanpa memikirkan soal dirinya sendiri yang menjadi mangsa hingga dipenjarakan sejak 10 Februari lalu, kegusaran itu dilahirkan setiap kali bertemu peguam dan ahli keluarga.

AzizahPresiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menceritakan detik sayu setiap kali bertemu Anwar di Penjara Sungai Buloh yang sering meminta ahli parti memikirkan masalah rakyat tanpa perlu bimbang mengenai dirinya.

“Tiap kali melawat dia sering berkata jangan risaukan dia (Anwar). Ingatkan masalah rakyat, masalah (cukai) GST.

“Apa yang saya boleh katakan, hargailah detik dan sesuatu yang kita ada.

“Bila telah tiada, kita akan rasai kehilangannya,” katanya ketika menyampaikan Amanat Presiden di Pauh, Arau, Perlis.

Dengan nada sayu mengenangkan nasib suami tercinta di sebalik tirai besi, beliau sekeluarga bersyukur meskipun hanya meluangkan masa selama lima minit ketika melawat Anwar pada Aidilfitri lalu.

Dalam amanatnya beliau turut menyampaikan pesan Anwar supaya semua ahli perlu bekerja keras bagi menjadikan PKR sebuah parti kuat menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Wan Azizah tiba pada jam 5.30 petang semalam bersempena Jelajah Amanat Presiden bersama Majlis Pimpinan Negeri Perlis.

Ketibaan beliau disambut Pengerusi MPN Perlis, Mohammad Faisol Abd Rahman dengan laungan ‘Reformasi’.

Hadir sama Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jeyakumar dan Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Suhaimi Shafiei serta Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.