Categories
SELANGOR

20 panel dialisis swasta dilantik bantu pesakit

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 OGOS: Sebanyak 20 panel Dialisis Sihat Selangor dilantik untuk membantu pesakit buah pinggang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan secara berkala.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata ia hasil kerjasama strategik Kerajaan Negeri bersama pusat dialisis swasta yang beroperasi di Selangor.

Katanya strategi itu lebih berkesan dan mudah berbanding Kerajaan Negeri mewujudkan serta mengurus pusat dialisis sendiri.

DNS-2015-small“Kerajaan Negeri dengan Jabatan Kesihatan Selangor sudah memilih, melawat dan mengaudit pusat dialisis swasta yang mematuhi syarat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melantik mereka sebagai panel Dialisis Sihat Selangor.

“Simbolik pelantikan diadakan pada September depan,” katanya ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Mohd Khairuddin Othman (PAS-Paya Jaras) di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Pada masa sama, Daroyah (PKR-Sementa) berkata panel Dialisis Sihat Selangor perlu melalui beberapa syarat lantikan sebelum layak dipilih.

Antaranya, ia mesti berada dalam Selangor, memiliki lesen operasi sah dan dikeluarkan KKM, memiliki sekurang-kurangnya tiga tempat kosong, bersih dan kondusif serta berdaftar dengan Sistem Pembayaran Elektronik Kerajaan Selangor (SPEK).

“Kerajaan Negeri bercadang melantik lebih banyak pusat dialisis swasta bagi menjadi panel pada masa depan, namun perlu mematuhi syarat dan spesifikasi ditetapkan Jabatan Kesihatan Selangor dan KKM,” katanya.

Selain itu, katanya semua perbelanjaan operasi dan rawatan pesakit adalah di bawah tanggungan pusat dialisis itu sendiri tanpa sebarang peruntukan daripada Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, katanya melalui Bantuan Kesihatan Sihat Selangor, seramai 852 pesakit dengan jumlah peruntukan RM1.644 juta sudah menerima manfaat sejak 2010.

“Setiap penerima menerima antara RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada kos rawatan yang dipohon,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.