Categories
NASIONAL

Azmin: Tun M tak usah berlagak jadi hero selamatkan negara

Oleh: NORHAYATI UMOR

PUTATAN,SABAH 10 OGOS: Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak layak berlagak wira kononnya mahu menyelamatkan negara.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata lagak sebagai wira itu tidak perlu ditunjukkan kerana ramai yang mengenali tokoh itu.

“Saya langsung tidak setuju mana-mana pihak mengundang beliau (Tun Mahathir). Lagak beliau seperti mahu menyelamatkan negara.

Azmin“Jangan lupa beliau adalah manusia yang meruntuhkan institusi demokrasi,” katanya dalam ucapannya di Jelajah Amanat Presiden, di Hotel Soluxe, Putatan, di sini.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar menyifatkan Tun Mahathir sebagai ‘perompak bank’.

“Mana mungkin nak suruh perompak jaga bank. Beliau zalim terhadap rakyat dan tidak menghormati kedaulatan rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengulas isu penyiasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau menganggap seluruh sistem demokrasi di negara ini sudah runtuh.

“Jabatan Peguam Negara hancur, begitu juga polis dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama juga dengan Badan Kehakiman,” katanya.

Jumaat lalu, Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pertukaran serta merta itu menyebabkan pelbagai pihak marah termasuk jemaah menteri.

Pengumuman itu dibuat ketika SPRM berdepan siasatan polis berhubung dakwaan kebocoran maklumat kerajaan.

Pada masa sama, SPRM giat menjalankan siasatan berprofil tinggi membabitkan Perdana Menteri secara langsung.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.