Oleh: NAZLI IBRAHIM
KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Peserta Bersih 4.0 tidak perlu terlalu ghairah terhadap sokongan yang ditunjukkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap perhimpunan berkenaan.
Isteri bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Masitah, berkata, ia kerana Mahathir sendiri mempunyai rekod buruk dalam isu membantah hak kebebasan ketika berkuasa dahulu.
“Walaupun Tun Dr Mahathir menunjukkan kelibatnya di sini, tetapi jangan lupa apa yang pernah dilakukan ketika berkuasa dahulu,” katanya di pentas utama Dataran Merdeka, hari ini.
Suaminya adalah salah seorang yang ditahan kira-kira lapan bulan selepas menentang rampasan kuasa Barisan Nasional (BN) terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Perak.
Mahathir ketika berkuasa adalah perdana menteri yang paling kerap menggunakan ISA bagi memastikan kuasanya tidak terancam dan antara tindakan beliau iaitu menahan serta membuat tuduhan fitnah terhadap bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar selepas beberapa hari ditahan di Bukit Aman, tampil di mahkamah dengan mata lebam ditumbuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, bahkan Mahathir juga pernah menggerakkan ‘operasi lalang’ bagi menahan pemimpin pembangkang pada 80an.
-NFN-